Hujan bantu padam kebakaran hutan di Gunung Kenderong
GERIK - Hujan membantu usaha awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadam kebakaran hutan di Gunung Kenderong dekat sini pada Sabtu.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, kebakaran yang dilaporkan pada jam 3.54 petang itu melibatkan kawasan seluas hampir 40 hektar dianggarkan 600 meter dari aras laut.
"Akibat hujan pada sebelah petang itu, api tidak lagi kelihatan, bagaimanapun pemantauan setiap jam masih diteruskan.
"Sekiranya hujan berhenti, ada kemungkinan kebakaran berlaku semula," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat malim gunung dan Jabatan Perhutanan, jangka masa perlu diambil untuk sampai ke lokasi dianggarkan tiga jam dengan berjalan kaki.
"Kawasan kebakaran tidak melibatkan laluan pendaki dan keadaan di lokasi kelihatan berkabus tebal sekitar jam 7 petang tadi.
"Kita akan mendapatkan bantuan helikopter dari Pengkalan Udara JBPM Bertam untuk membuat pemantauan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!