102,400 batang rokok kretek dirampas di perairan Batu Pahat
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat menemukan 102,400 batang rokok kretek dipercayai diseludup dari Indonesia di dalam sebuah bot pancung yang ditinggalkan di kedudukan 0.35 batu nautika tenggara pantai Parit Haji Salam, Batu Pahat pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu ditemukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Jaksa dan Op Tiris pada 4.30 pagi Sabtu.
"Anggota bot ronda Maritim Malaysia yang menghampiri bot pancung itu untuk melakukan pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai tekong dan awak-awak, dipercayai bot itu telah ditinggalkan oleh penyeludup," katanya dalam kenyataan malam Sabtu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai 13 kotak besar rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM117,920 yang disyaki tidak bercukai dari negara berkenaan untuk dijual secara haram di negara ini.
Katanya, kesemua rokok dan bot gentian kaca berserta enjin 40 kuasa kuda itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!