Derbi Borneo: Sabah terlalu kuat buat Kuching City
PASUKAN pilihan Sabah FC mengekalkan status Raja Derbi Borneo selepas menewaskan Kuching City 3-0 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan ketiga Liga Malaysia, The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee ke atas The Cats musim ini.
Anak buah Kim Swee sebelum ini menang dua perlawanan Liga Super dengan keputusan 2-1 di Kuching pada 6 Mac lalu diikuti 4-3 di Likas pada 8 Julai.
Sabah tidak menunggu lama untuk menguji angkatan The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak yang secara rasmi diumumkan sebagai pengendali baharu Kuching City, Rabu lalu.
Ramon Machado meletakkan pelawat di depan seawal minit keempat sebelum penyerang kelahiran Brazil tersebut menambah gol kedua tiga minit kemudian.
The Rhinos kemudian melebarkan lagi kedudukan apabila Daniel Ting menjadikan kedudukan 3-0 dengan gol pada minit ke-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!