Semua calon PN Negeri Sembilan layak jadi Menteri Besar - Hamzah
KUALA PILAH - Semua calon Perikatan Nasional(PN) yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan layak untuk menjadi calon Menteri Besar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, buat masa ini beliau tidak mahu mengumumkan sesiapa tetapi sedang membincangkannya bersama pimpinan tertinggi parti.
"Kita nak tentukan supaya calon-calon kita ini merasakan mereka ini layak bukan sahaja jadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri(DUN), tapi juga layak jadi pemimpin besar (Menteri Besar) di Negeri Sembilan.
"Jadi tak perlulah kita nak umum sesiapa dan Insya-ALLAH kita sedang berbincang perkara ini bersama pimpinan di atas," katanya ketika ditemui selepas Sembang Santai di Juasseh pada Sabtu.
Dalam pada itu, ditanya sama ada PN berhasrat untuk mengikut Parti Ikatan Demokratik Malaysia(Muda) mengarahkan kesemua calonnya mengisytiharkan harta, beliau berkata, masih belum membuat keputusan soal itu.
"Tunggulah selepas menang nanti boleh kita lakukan jika ia diperlukan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 19 calon Muda yang bertanding pada PRN 12 Ogos ini telah mengisytiharkan semua harta, termasuk senarai aset dan liabiliti terkumpul dalam akuan berkanun (SD) dan boleh diakses umum melalui laman sesawang parti itu, undimuda.my.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pengisytiharan aset itu dilaksanakan secara telus dan calon-calon yang mengisytiharkan aset turut terikat dengan SD yang telah ditandatangani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!