Kerajaan Pakatan Harapan berjaya banteras rasuah
PADA 9 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) mencipta sejarah baharu dalam politik negara apabila berjaya menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun mentadbir negara apabila parti itu tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Gabungan empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini pernah memerintah negara selama 22 tahun.
Kebanyakan daripada anggota Kabinet yang dipilih adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pentadbiran negara dan kini mereka berpeluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu untuk mentadbir negara. Justeru itu ikuti wawancara khas bersama Perdana Menteri bagi mengupas prestasi PH dalam tempoh satu tahun menerajui pentadbiran negara.
SOALAN: Selepas setahun Kerajaan PH menerajui negara apakah pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan?
MAHATHIR: Pertama sekali, tiada sesiapa sangka kami akan menang, sehingga ada yang mengatakan bahawa gabungan parti ini sangat rapuh dan akan berpecah dalam tempoh yang singkat, Tetapi itu semua tidak berlaku.
Hingga kini kami tidak berpecah, kami telah kerja bersama dan kerjasama kami dalam gabungan parti ini amat kukuh dengan berlandaskan kepada objektif yang sama iaitu untuk membawa semula Malaysia yang kita kenal dahulu. Ini adalah satu pencapaian yang baik bagi saya.
Penerimaan pemimpin parti politik yang lain kepada saya sebagai pemimpin itu juga saya anggap sebagai satu kejayaan.
Walaupun ada segelintir sebelum ini memburukkan saya, tetapi mereka memilih saya untuk menjadi ketua mereka dan sampai sekarang saya masih lagi menjadi ketua mereka. Itu satu kejayaan juga.
Selain itu, Kabinet yang telah dibentuk juga melakukan tugas dengan baik walaupun rata-ratanya ahlinya adalah baru dan ada yang menjadi pembangkang selama tempoh 60 tahun, namun mereka boleh berubah apabila menjadi kerajaan tetapi sudah tentu ada beberapa kesukaran, ada juga ketikanya ahli-ahli kabinet ini bertindak seolah-olah mereka masih sebagai pembangkang, tetapi itulah politik.
Rakyat pula saya lihat mereka masih berpuas hati dengan perubahan kerajaan. Perubahan kerajaan adalah sesuatu yang mereka mahukan dan perubahan itu berlaku. Perubahan kerajaan yang berlaku pada hari ini telah menampakkan hasil yang positif dengan beberapa objektif telah berjaya dilaksanakan. Objektif yang pertama ialah, kerajaan hari ini telah berjaya untuk membendung kegiatan rasuah. Kita dapat lihat hari ini, rakyat tidak lagi mengeluh tentang rasuah sama ada yang sedang disiasat ataupun rasuah yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.
Kita lihat pada hari ini, rakyat tidak lagi mengeluh untuk melakukan sesuatu kerana mereka tidak lagi diminta untuk membayar lebih dan rakyat lebih mudah untuk mendapatkan kelulusan untuk sesuatu perkara lebih cepat berbanding dahulu. Itu satu kejayaan bagi kami, dimana rakyat suka dengan cara pentadbiran kita kerana semua itu dinilai.
Semestinya ada pihak yang mengkritik cara kami mentadbir, namun kritikan itu datang daripada individu yang dahulunya menimbulkan pelbagai masalah. Mereka yang menimbulkan masalah, tetapi kami yang cuba untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh mereka.
Mereka membuat pinjaman dengan angka berbilion ringgit, mereka menghukum individu yang tidak menyokong mereka dengan menukarkan mereka ke jabatan lain atau memecat mereka.
Mereka inilah yang mengkritik kerajaan pada hari ini. Kerajaan hari ini telah mengeluarkan golongan-golongan yang secara terang-terangan mengambil rasuah. Kami ada bukti mengenai mereka dan kami mengambil tindakan untuk menghukum kesalahan mereka berdasarkan undang-undang negara.
Di sini saya menegaskan bahawa kami akan mengikut kedaulatan undang-undang yang ditetapkan. Ini juga satu kejayaan kerana sebelum ini tiada kedaulatan undang-undang yang diguna pakai sehingga ada individu yang tidak bersalah berdepan dengan tuduhan yang tertentu, tetapi kini, setiap tuduhan yang dikenakan akan melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Selain itu, ada berbagai perkara lagi yang telah kami lakukan.
Sebagai contoh, kami telah berjaya untuk berunding semula mengenai wang yang dipinjam untuk projek ECRL dan kami telah berjaya untuk menjimatkan sebanyak RM21 billion. Ini perkara yang orang lain tidak boleh lakukan. Kami juga berjaya untuk menyelesaikan masalah mengenai Bandar Malaysia. Ini semua adalah kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan pada hari ini. Sudah tentu kami tidak memberitahu ini berulang kali kepada rakyat tetapi inilah pencapaian kita.
SOALAN: Apakah perkara-perkara yang belum dapat dilaksanakan oleh kerajaan?
MAHATHIR: Kami berjanji untuk memansuhkan tol, tetapi kami baru sedar sekarang, semasa kami memutuskan untuk mansuhkan tol kami tidak faham mengenai kos untuk pemansuhan tol ini.
Tetapi sekarang kami sedar, jika mahu memansuhkan tol bermakna kerajaan harus membeli semua lebuhraya dan ini memerlukan wang yang banyak. Contohnya Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sahaja mengakibatkan keajaan terpaksa membayar RM30 billion sebelum kerajaan boleh mengumumkan tiada tol yang akan dikenakan.
Jadi persoalannya sekarang, adakah kerajaan akan menggunakan RM30 billion ini untuk tujuan memansuhkan tol sahaja ataupun RM30 billion yang kita ada ini digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting. Kerajaan juga perlu memperuntukkan perbelanjaan untuk menyelenggara lebuhraya yang menyebabkan berbilion ringgit lagi terpaksa dikeluarkan dan ini tidak berbaloi.
Ini akan menyebabkan kita menghadapi kewangan lebih besar. Selain itu, jika kerajaan mahu membina lebuhraya yang lain, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja sendiri dan disebabkan ia dibina secara percuma maka syarikat swasta tidak berminat untuk melabur kerana mereka tidak mendapat sebarang pulangan. Ini akan menambahkan lagi beban kewangan negara.
Pada masa ini, kerajaan lihat perkara ini sebagai satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Ya kami berjanji untuk memansuhkan tol, tetapi dalam keadaan sekarang, ia sukar untuk dilaksanakan. kalau kita lakukan juga, banyak kerosakan lain yang akan berlaku. Selain itu ada beberapa lagi yang ingin kita lakukan termasuk menghapuskan hukuman mati tetapi masalahnya perkara yang ingin kita lakukan ini mendapat tentangan daripada orang ramai kerana ia ada kaitan dengan kepentingan mereka.
SOALAN: Sejauhmana Kerajaan PH telah berjaya menghapuskan rasuah dalam kerajaan?
MAHATHIR: Saya lihat perbezaan itu amat ketara sekarang kerana kita tidak lagi dengar ada yang melaporkan bahawa permohonan yang dibuat tertangguh dan sebagainya tidak seperti dahulu. Jika dulu, individu yang ingin meminta kebenaran juga ditangguh dan dilewatkan dan juga kebiasaannya mereka akan diminta untuk dibayar supaya mempercepatkan proses itu, namun hari ini kita sudah tidak lihat lagi perkara sebegitu berlaku.
SOALAN: Tun pernah mengatakan bahawa usaha membanteras rasuah oleh kerajaan PH telah menyebabkan berlaku kemerosotan sokongan terhadap kerajaan. Ironinya rakyat dahulu menolak kerajaan terdahulu kerana rasuah tetapi kini rakyat beralih sokongan menyokong pihak tertentu. Apa tindakan kerajaan untuk memberi kefahaman rakyat tentang rasuah?
MAHATHIR: Memang kerajaan terdahulu mereka beri duit yang banyak kepada macam-macam golongan. Nelayan diberikan gaji. Kalau tidak dapat tangkap ikan pun diberi gaji RM300 sebulan. Golongan bujang diberi RM450 sebulan, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) bagi duit lagi, macam-macam orang dapat duit.
Kalau kita hendak amalkan perkara yang sebegitu, maknanya kita pun samalah dengan kerajaan terdahulu, memakan rasuah seperti kerajaan dulu. Nak beli sokongan dengan wang, itu rasuah. Kita tidak boleh buat pun macam itu dan kita tiada duit untuk buat perkara itu kerana kita tidak mencuri duit, kita tiada duit nak beri.
Jadi ramai yang dulu mendapat duit, walaupun mereka benci kepada kerajaan yang lama tetapi kerajaan yang baru ini tidak beri duit dan itu jadikan mereka kecewa kerana dahulu mereka mendapat RM450, tetapi sekarang cuma RM100 sahaja. Jadi ada yang berpendapat bahawa kerajaan ini akan menghalang pemberian wang oleh pihak tertentu kepada pegawai tertentu. Mereka dapat gaji dan tutup mata dengan jenayah yang dilakukan.
Apa yang mereka dapat dahulu besar nilainya seperti jenayah yang mereka sudah lakukan. Tetapi sekarang mereka tidak dapat lagi gaji atau dana daripada pihak tersebut. Ini yang membuatkan mereka rasa kecewa dengan kerajaan hari ini. Ini kerana, jika dulu mereka boleh juga dapat duit, tetapi kini kalau mereka dapat duit, mereka akan dikenakan tindakan.
Jadi pada hari ini mereka hanya bergantug dengan gaji mereka sahaja. Memanglah kalau dia jutawan pun dia akan kata duit tidak cukup kerana itu tabiat manusia. Tetapi di sini kita dapati, orang yang sekarang ini tidak dapat duit disebabkan kerana gerakkan anti rasuah ini, mereka marahkan kerajaan. Dulu boleh dapat, sekarang tidak boleh dapat. Jadi kita dapati sokongan kita merosot pada kalangan kumpulan-kumpulan tertentu yang terkenal kerana mereka bukan sahaja dapat gaji, tetapi mereka juga dapat gaji tambahan daripada punca lain. Itulah sebahagian daripada sebabnya yang kita dapati undi kepada parti PH merosot.
SOALAN: Bagaimana caranya untuk mengatasi pemikiran sebegini dalam kalangan rakyat?
MAHATHIR: Ini adalah perkara yang sukar tetapi kita akan usahakan cara yang terbaik untuk membuatkan mereka rasa normal tidak berharap untuk mendapatkan duit daripada pihak tertentu.
Pada akhirnya mereka mesti belajar untuk mendapatkan gaji dengan sumber yang betul. Kerajaan sedang berusaha untuk menambahbaik jumlah gaji serta keperluan yang diperlukan oleh mereka. Pada akhirnya masyarakat akan menghargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini kerana mereka tidak perlu membayar wang yang lebih kepada pihak tertentu yang mengambil rasuah.
SOALAN: Ada pihak mengatakan Kerajaan PH hanya meniru dan menjenamakan semula program-program kerajaan terdahulu. Apa reaksi Tun mengenai perkara ini?
MAHATHIR: Faktanya di sini, kerajaan hari ini melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan yang sebelumnya tetapi mereka sebenarnya telah gagal.
Jadi kerajaan hari ini akan teruskan usaha itu tapi dengan cara yang betul. Bukan cara yang melibatkan rasuah, memberi kontrak kepada kroni dan meningkatkan nilai kontrak supaya boleh mendapatkan duit denganc ara itu. Itu apa yang dilakukan kerajaan terdahulu tetapi kita meneruskan usaha itu tapi tidak melibatkan perbuatan rasuah. Itu perbezaannya.
Mana-mana kerajaan pun mesti melakukan perkara-perkara tertentu, tetapi itu berdasarkan keperluan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai kerajaan tanpa melibatkan rasuah, kronisme dan sebagainya. Saya rasa, apa yang dilakukan kerajaan hari ini berbeza dangan kerajaan. Dalam isu ECRL, ia mengambil masa hampir setahun untuk kami berbincang semula perjanjian yang telah dilakukan.
Ini kerana perjanjian yang dilakukan dahulu sangat teruk kerana perjanjian tersebut telah diberi kepada sebuah syarikat China dengan mudahnya. Perkara ini disebabkan kerajaan terdahulu telah meminjam wang daripada negara China. Mereka pinjam lebih daripada apa yang diperlukan.
Yang paling penting daripada itu, semua pembayaran dibuat di China dan bukan dibuat di Malaysia. Semua keuntungan dibuat di China dan bukan di Malaysia, bahkan cukai juga tidak dapat dikenakan. Jadi syarat yang terdapat dalam kontrak itu sangat teruk. Kerajaan hari ini tidak lakukan perkara itu. Kita balik kepada amalan yang betul dan cara yang betul untuk berunding kontrak. Jadi mereka tidak ada hak untuk mengatakan kerajaan hari ini meniru apa yang dilakukan kerajaan terdahulu.
SOALAN: Agensi penyelidikan, Merdeka Center telah membuat satu kaji selidik tentang prestasi PH dan menunjukkan penurunan tahap sokongan terhadap kerajaan. Apa respons Tun?
MAHATHIR: Merdeka Center tidak fikir kami akan menang. Mereka fikir kami akan kalah dan banyak perkara yang mereka dapati berdasarkan kaji selidik mereka adalah salah, tetapi mereka bebas untuk membuat andaian sendiri.
Meraka tidak bertanya kepada seluruh negara tetapi hanya sekadar mengambil sampel saja. Mungkin segala usaha yang kerajaan ambil untuk membangunkan ekonomi tidak sampai ke akar umbi khususnya orang Melayu. Jadi apa usaha yang dilakukan untuk membritahu kepada rakyat bahawa usaha untuk membangunkan ekonomi khususnya orang Melayu berlaku dan berada di landasan yang betul?
Yang utama ialah kita berjumpa dengan mereka. Jika kita tidak jumpa mereka, kita tak boleh nak terangkan khususnya orang kampung. Kita kadang-kadang bergantung kepada laporan yang dibuat. Tetapi, laporan tidak pernah mencukupi untuk menjelaskan mesej yang kita nak hebah. Jadi saya berpendapat bahawa saya perlu berjumpa dengan orang-orang tertentu yang menjadi pencetus pendapat. Saya kadang-kadang jemput mereka ke pejabat saya yang terdiri dari pelbagai golongan seperti Kesatuan Sekerja, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), orang daripada Felda dan sebagainya untuk mendengar masalah mereka dan bagaimana saya boleh membantu.
Semalam saya di Perak, ada seorang penjawat awam mengadu dan mengatakan bahawa kerajaan tidak menjaga kebajikan pekebun kerana harga kelapa sawit yang jatuh. Saya mesti jelaskan perkara ini di mana kita melakukan kesalahan pada sepanjang masa dan menyebabkan mereka dalam kesusahan.
Kita lihat di British penanaman kelapa sawit dan getah mereka lakukan dalam skala yang besar. 10 ribu ekar, 20 ribu ekar dan diuruskan dengan baik dan professional, jadi mereka dapat menghasilkan pendapatan.
Tetapi kita pula, yang ada hanya dua ekar tanah yang ditanam dengan kelapa sawit sambil berharap untuk menjadi jutawan. Ini tidak akan berlaku. Jika tanya penanam padi yang hanya ada dua ekar tanah akan terus menjadi miskin kerana tidak boleh menjana pendapatan dengan hanya menanam padi.
Jadi kerajaan keluar dengan satu idea baharu iaitu 'Rich Farming'. Pihak kerajaan akan memastikan golongan petani mendapat nasihat yang betul cara untuk menjalankan pertanian yang moden yang dapat menjana keuntungan. Kita ada banyak idea tetapi ia mengambil masa kerana ada penentangan daripada petani sendiri.
Kerajaan mencadangkan supaya mereka menggabungkan tanah pertanian supaya dapat mengeluarkan hasil yang lebih besar dan menguntungkan tetapi petani pula enggan melakukan perkara ini. Jadi menjual idea ini adalah satu masalah tetapi kami yakin mampu lakukan dan jelaskan kepada mereka negara ini mengimport RM60 bilion makanan setahun dan kebanyakannya boleh ditanam di sini.
tetapi kita lakukan kerana kita menanam kelapa sawit dan getah sahaja. Jadi apabila harga komoditi ini jatuh, mereka bersedih dan menyalahkan kerajaan kerana tidak membuat apa-apa untuk mereka. Mereka meminta kerajaan untuk memberikan mereka duit supaya mereka dapat untung semula.
Itu bukan cara kita, cara kita adalah mengubah cara mereka membuat duit. Mereka mesti berniaga, mereka mesti bertani dengan cara yang moden dan mempunyai ladang yang lebih besar. Ini semua sedang dilakukan oleh kerajaan.
Contohnya tanaman nanas boleh menjadikan anda jutawan. Ada nanas di Rompin yang mereka namakan Nanas Rompine yang sangat manis. Jadi orang ini membuat duit kerana mereka sedar jika anda mempunyai tanah dan digunakan untuk menanam kelapa sawit, anda akan mendapat masalah.
SOALAN: Jumlah aduan mengenai gejala rasuah sudha menurun tetapi aduan rakyat mengenai kos sara hidup semakin meningkat sejak setahun lalu. Aduan ini datang daripada orang Melayu kerana orang Melayu ramai yang miskin. Bagaimana kerajaan atasi masalah ini?
MAHATHIR: Ya kita pilih beberapa barangan dan kita melihat harga barangan ini, ada banyak barang makanan yang turun tetapi kita tidak ambil semua jenis barangan. Jika ambil kira semua barang makanan maka kita dapati harga tidak turun dengan banyak tetapi harga naik kerana kita dapati ia berpunca daripada orang tengah. Contohnya, sayur yang ditanam di Cameron Highlands mereka jual 50 sen sekilo tetapi di pasaran RM7.
Jadi berlaku sesuatu di tengah dan semua ini perlu diselesaikan, kita mahu mengurangkan margin keuntungan orang tengah ini dan saya fikir harga mungkin tidak turun tetapi apa yang kita nak buat ialah meningkatkan kuasa beli dengan menggunakan ringgit, ringgit kita sekarang bernilai rendah dan harga barang meningkat. Terdapat banyak cara untuk selesaikan masalah ini dan tidak sekadar beri duit kepada mereka.
SOALAN: Selepas setahun PH, adakah kerajaan sudah berada pada kedudukan yang sepatutnya?
MAHATHIR: Sebelum ini kita tidak jangka kita akan menjadi kerajaan, kita tidak pernah terfikir di mana kita berada dan selepas kami menang, kita dapati masalah yang dibuat oleh kerajaan terdahulu lebih besar daripada apa yang kami sangka kerana kami tidak diberikan maklumat. Jadi sekarang kami lakukan lebih baik walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.
SOALAN: Ada tuduhan mengatakan PH lebih mengutamakan orang Melayu Islam kerana kerajaan melayan tuntutan pihak tertentu?
MAHATHIR: Bukan Melayu dan Islam sahaja, kita ada masalah Cina kerana anda mahu UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), anda mahu sekolah Cina, universiti Cina, ada juga malah India, semua orang ada masalah dan semua fikir kerajaan harus memberi perhatian kepada komuniti lain, tetapi tidak kepada mereka tetapi hakikatnya kami menjaga semua tiga komuniti ini.
Kami perlu memastikan semua pihak berpuashati tetapi hakikatnya ada dalam kalangan kita masih memikirkan tentang kaumnya sahaja. Kita banyak bercakap tentang perpaduan tentang Malaysia tetapi masih ada orang bercakap tentang kaumnya sendiri malah ada menteri mahu mendapatkan sokongan daripada kaumnya sendiri dan mesti membawa isu kaum kepada kerajaan.
Tetapi kerajaan dapati jika kita layan sesuatu kaum sahaja kita akan berhadapan dengan masalah jadi kami akan cuba memastikan kita melakukan dengan minima supaya semua pihak berpuashati namun kita tidak boleh puaskan hati semua orang pada setiap masa.
SOALAN: Jika Tun melepaskan jawatan adakah keadaan negara akan berubah dan menyelesaikan masalah yang melibatkan isu agama dan bangsa. Adakah Tun akan menyesal sekiranya masih banyak masalah belum selesai?
MAHATHIR: Dengan kerjasama media ia akan jadi lebih baik tetapi sejauhmana ia akan lebih baik saya tidak boleh cakap tetapi kita lakukan banyak perkara untuk selesaikan isu ini.
Contohnya isu kemasukan ke Kolej Matrikulasi yang dibangkitkan oleh pihak tertentu, kami membuat keputusan untuk mewujudkan Kolej Matrikulasi kerana orang Melayu tidak ambil STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan tidak dapat masuk ke universiti tetapi kami menyediakan pintu belakang kepada mereka namun timbul soalan kenapa hanya Melayu, ada orang lain dapat keputusan lebih cemerlang dan tidak dapat masuk Kolej Matrikulasi.
Memang sebenarnya kerana orang Melayu tidak dapat keputusan yang baik menyebabkan kita buat Kolej Matrikulasi dan sekarang kita setuju untuk buka Kolej Matrikulasi kepada kaum lain. Jadi tanggapan untuk memudahkan orang Melayu masuk ke universiti dengan cara ini tidak boleh diterima lagi kerana kita sudah bukan kepada kaum lain yang juga guna pintu belakang, tetapi mereka masih tidak berpuas hati.
Perkara ini tidak pernah dibangkitkan sebelum ini tetapi sekarang seseorang sudah memainkan isu ini dan media melaporkannya sehingga rakyat merasakan kerajaan ini memberi lebih bantuan dan perhatian kepada orang Melayu Tetapi apabila anda tanya orang Melayu dan Islam, mereka akan beritahu kerajaan tidak beri perhatian kepada Islam dan kami dituduh tidak menegakkan Islam sehingga mereka mengadakan demonstrasi jalanan.
Kerajaan harus memberi perhatian kepada isu ini juga kerana jika kami tidak menyelesaikan ini maka kami akan hilang sokongan daripada orang Melayu, jika PH hilang sokongan kepada Melayu, kita akan kalah dan jika hilang sokongan kepada Cina kita juga akan kalah termasuk India yang memainkan peranan besar dalam memastikan PH kalah, jadi kami perlu berhati-hati.
SOALAN: Ada pihak terus memainkan isu kaum dan agama, mengapa kerajaan terus bersikap pasif?
MAHATHIR: Banyak perkara perlu ambil masa, kami tidak pasif kerana kita harus bersedia dan berhati-hati dengan apa yang kita buat dan cakap termasuk keputusan yang kita capai.
Contohnya Statut Rom bukan sesuatu yang perlu ditakutkan tetapi ada pihak telah memutar belitkan fakta sehingga kami terpaksa menarik balik keputusan dan membuat penerangan tentang statut rom ini yang sebenarnya tidak akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang bukan penjenayah.
Jika kerajaan ini melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kita tak buat apa-apa, maka Statut Rom akan memastikan akan ada perhatian daripada antarabangsa dan tindakan terhadap kita.
Jika kita tidak ratifikasi Statut Rom maka seluruh dunia akan menentang kita. Jika kita ambil tindakan untuk hentikan mereka maka tiada pihak lain akan masuk campur dalam negara kita seperti kes Rohingya, kerajaan tidak ambil tindakan sebaliknya menyokong pembunuhan Rohingya. Myanmar tidak ratifikasi Staut Rom dan komuniti antarabangsa mengutuk perbuatan Myanmar.
SOALAN: Sejak setahun yang lalu adakah Tun rasa semakin muda atau sudah semakin letih?
MAHATHIR: Saya boleh menjadi kuat pada usia 93 tahun, tidak orang pada usia ini berfikir dapat sampai ke tahap ini tetapi saya fikir saya masih mampu menjawab soalan yang teruk daripada kamu.
Ada banyak pemimpin di dunia ini, saya tidak fikir saya lebih buruk daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, saya tidak fikir saya lebih teruk daripada pemimpin British atau pemimpin Perancis yang terpaksa berdepan dengan kumpulan Baju Kuning dan pemimpin lain. Boleh beritahu saya pemimpin mana yang telah lakukan lebih baik daripada saya?
SOALAN: Tun pernah menjadi Perdana Menteri selama ini selama 22 tahun, adakah Tun mendapat kelebihan dari segi usia?
MAHATHIR: Kelebihan dari segi usia tiada langsung. Pada usia ini sepatutnya saya bercakap yang bukan-bukan tiada sebarang kelebihan di situ tetapi bercakap tentang pengalaman itu ya memang ada kelebihan. Saya ada lebih banyak pengalaman berbanding orang lain, 22 tahun sebagai PM adalah pengalaman yang baik yang mengajar saya pelbagai perkara.
SOALAN: Adakah Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) adakah akan diteruskan?
MAHATHIR: Kosnya terlalu tinggi dan kita tidak ada duit. Kerajaan tahu ia sangat berguna tetapi walaupun berguna sama seperti mempunyai keretapi laju daripada Singapura ke Hatyai tetapi kita tidak ada duit. Kita boleh pinjam duit tetapi kita akan ada masalah untuk membuat pembayaran.
SOALAN: Adakah sebarang perancangan atau sebarang perkara yang ingin diselesaikan dibuat sebelum Tun menyerahkan kuasa dalam tempoh setahun lagi?
MAHATHIR: Saya telah berjanji untuk melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ini adalah sesuatu yang sudah pasti, jadi tiada lagi cakap-cakap siapa akan jadi Perdana Menteri.
Jadi apabila seseorang ambil alih daripada saya, dia tidak perlu ikut arahan daripada saya atau lakukan apa yang saya sudah buat, dia bebas untuk melakukan apa yang terbaik sebagai Perdana Menteri, saya tiada apa-apa hendak cakap selepas itu, kerja saya adalah menyediakan negara supaya boleh diambil alih oleh pengganti saya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!