Tiga beranak maut, kereta dihempap pokok

Tiga beranak maut, manakala dua cedera apabila kereta dinaiki mereka dipercayai dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu pada malam Sabtu.
Tiga beranak maut, manakala dua cedera apabila kereta dinaiki mereka dipercayai dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu pada malam Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga beranak maut manakala dua cedera apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas di sini, pada malam Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan pasangan suami isteri, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan Nik Amirah Ab Rahman, 40, serta anak bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, maut di tempat kejadian.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan selanjutnya.

Dua lagi anak pasangan berkenaan, Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zarif, 9, cedera dan dibawa ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.

Mereka sekeluarga dikatakan menaiki kereta jenis Nissan Sentra dan melalui kawasan berkenaan dari arah Machang ke Kota Bharu.

Pokok tumbang akibat ribut dan hujan lebat itu turut menghempap sebuah kereta lain, namun pemandu dan penumpangnya dilaporkan terselamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, bomba mengambil masa dua jam setengah untuk keseluruhan operasi termasuk mengeluarkan mangsa, memotong pokok dan kerja-kerja pembersihan membabitkan 10 anggota, satu jentera dan dua jengkaut.

"Pasukan bomba mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan mayat tiga beranak yang tersepit

"Kami dapati wanita yang maut ditemui dalam keadaan sedang meriba anaknya di tempat duduk hadapan," ujarnya.

Menurut beliau, difahamkan wanita itu juga sedang mengandung.

Mohd Roslan memberitahu, operasi tersebut turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang ramai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!