Nasib masyarakat India terbela di Selangor

Sejumlah RM5 juta disalur bagi penuhi keperluan SJKT

A
A
A

Amirudin ketika hadir ke Perhimpunan Pemimpin India Malaysia di Pusat Konvesyen Midlands pada Jumaat.
Amirudin ketika hadir ke Perhimpunan Pemimpin India Malaysia di Pusat Konvesyen Midlands pada Jumaat.

SHAH ALAM - Pendekatan berkesan dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor membuktikan hal ehwal dan kebajikan kaum lain khususnya masyarakat India di negeri ini tidak pernah dipinggirkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dalam aspek pendidikan, pentadbiran negeri komited membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerusi peruntukan disediakan meskipun bukan dalam kategori sekolah bantuan penuh kerajaan.

Menurutnya, sejumlah RM5 juta daripada RM26.5 juta dana disalur Kerajaan Selangor bagi memenuhi keperluan SJKT seluruh negeri tahun ini.

"Selain menaik taraf kemudahan sekolah, bantuan yang disalurkan ini juga membantu menambah alat bantuan mengajar.

"Sebarang tambahan peruntukan adalah bergantung kepada keperluan. Saya kena bincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk SJKT sebab sekolah kebangsaan juga perlu dilihat dan dibantu," katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama pimpinan India Malaysia di Pusat Konvensyen Midlands di sini pada Jumaat.

Lebih 100 orang mewakili 70 badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam perjumpaan dianjurkan Majlis Perundingan India Selangor (SICC) itu.

Amirudin dalam ucapannya pada majlis tersebut juga menekankan, kepimpinannya memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah akar umbi demi perkhidmatan terbaik kepada rakyat pelbagai kaum.

AMIRUDIN
AMIRUDIN

Katanya, ia seperti mana penubuhan jawatankuasa hal ehwal agama selain Islam yang telah berjaya menyelesaikan isu-isu berbangkit.

"Macam dulu kita ada banyak masalah kuil tidak berdaftar. Kerajaan Selangor laksanakan pemutihan, daftar semua kuil dan gazetkan.

"Kerana itu sehingga kini kita tak dengar isu perbalahan perobohan kuil dan sebagainya.

"Ada kes tertentu yang berbangkit seperti Kuil Seafield juga dalam proses penyelesaian," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, prestasi cemerlang kerajaan negeri dalam menggerakkan pelbagai inisiatif untuk manfaat bersama masyarakat India menjadi pendorong terhadap tahap sokongan kelompok itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

"Besar (tahap sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan). Tapi sudah pastinya tidak 100 peratus.

"Namun dengan prestasi dan track rekod yang baik, saya percaya kita boleh capai sehingga 80 peratus sokongan kaum India di Selangor,"katanya.

Amirudin (tengah) bergambar bersama tetamu di Perhimpunan Pemimpin India Malaysia di Pusat Konvesyen Midlands pada Jumaat.
Amirudin (tengah) bergambar bersama tetamu di Perhimpunan Pemimpin India Malaysia di Pusat Konvesyen Midlands pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Little India Klang di Jalan Tengku Kelana, Klang bakal dinaik taraf sejajar pemasyhuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai bandaraya.

Amirudin berkata, pengindahan lokasi tersebut masih mengekalkan identiti Klang sebagai Bandar DiRaja.

“Saya akan pastikan Little India Klang boleh ditambah baik selari pengumuman Klang sebagai bandaraya oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Kita ambil perhatian perkara ini dan akan dibawa ke pengetahuan Yang Dipertua MPK Noraini Roslan,” katanya.

PRN: Pengundi India jadi penentu

Pengundi India di Selangor mampu menjadi penentu perubahan dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

CHARLES
CHARLES

Wakil Majlis Perundingan India Selangor (SICC), Charles Anthony Santiago berkata, perkara itu tidak mustahil sekiranya peratusan keluar mengundi adalah tinggi.

"Perlu keluar dan undi untuk selamatkan Malaysia. Ini jelas...dan saya rasa sejak bermulanya pilihan raya, bilangan (sokongan) adalah kurang tapi kini meningkat 75 peratus.

"Undi masyarakat India adalah penting. Ini tanggungjawab yang perlu dibuat," ujarnya.

Charles menambah, dua lagi perjumpaan besar-besaran antara masyarakat India dan Amirudin dijangka dilaksanakan sebelum 12 Ogos ini sebagai menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Ini adalah pertemuan kedua selepas pertemuan pertama dibuat bersama 60 pemimpin masyarkat India daripada pelbagai lapisan.

"Mereka juga menyatakan hasrat untuk menyokong PH dan pimpinan Amirudin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!