Sabah belum layak, masih ada 90 minit lagi
PEMAIN Sabah FC diingatkan untuk tidak terlalu selesa selepas mendahului Kuching City, 3-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.
Sebaliknya, pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee menegaskan dia menjangkakan cabaran getir menanti dalam baki 90 minit bagi aksi timbal balik kedua di Stadium Likas.
Jelasnya, tiga gol dalam tempoh 13 minit juga membuktikan bahawa para pemain Sabah mampu menghasilkan penyudah baik sekiranya menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan.
"Ya, satu keputusan yang cukup baik tapi kita belum melangkah ke peringkat seterusnya apabila perlu berdepan satu lagi perlawanan timbal balik di Kota Kinabalu.
"Paling penting kita perlu kekal fokus dengan disiplin tahap tinggi seperti yang dilakukan berdepan pasukan Kuching City hari ini.
"Tiga gol satu keputusan positif, namun kita perlu ingat pasukan Sabah belum layak kerana masih ada 90 minit lagi yang sebarang kemungkinan besar boleh berlaku di Likas. Seperti saya katakan tadi, kita perlu kekal fokus pada perlawanan kedua nanti," katanya selepas perlawanan tersebut.
Terdahulu, penyerang baharu The Rhinos, Ramon Machado meletakkan pelawat di depan seawal minit keempat sebelum menambah gol kedua pada minit ketujuh.
The Rhinos kemudian melebarkan lagi kedudukan menerusi sentuhan Daniel Ting minit ke-15 bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan ketiga Liga Malaysia, The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee ke atas The Cats musim ini.
Sebelum ini, anak buah Kim Swee menang dua perlawanan Liga Super bermula keputusan 2-1 di Kuching, 6 Mac lalu diikuti 4-3 di Likas pada 8 Julai.
Mengulas mengenai tindakan para pemain The Rhinos yang mengendurkan rentak serangan selepas mendahului tiga gol, Kim Swee berkata, situasi itu sesuatu yang lumrah dalam perlawanan bola sepak
"Ini kebiasaan apabila kita mendahului, namun paling penting kita tidak dibolosi dan kita harus memikirkan mengenai pasukan lawan yang sudah tentu akan mengasak serta beri tekanan
"Jadi para pemain Sabah berjaya mengawal tekanan dengan begitu baik yang mana ini penting untuk kita tidak hilang fokus sebaliknya mampu memberikan tentangan sepanjang perlawanan selepas mendahului tiga gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!