Ini soal prinsip, UMNO sudah tergelincir - Faridzul Azlan
IPOH - Bekas Exco Pemuda UMNO, Faridzul Azlan Abd Shani mengakui tidak sanggup menggadai prinsip dengan terus bersama UMNO yang disifatkan sudah tergelincir daripada perjuangan sebenar.
Beliau yang umum menyertai Perikatan Nasional (PN) berkata, perjuangan UMNO hari ini lebih kepada kepentingan individu yang hanya menguntungkan segelintir pemegang jawatan dan merugikan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.
"Saya menyertai PN atas dasar prinsip kerana pada pandangan saya kerosakan yang ada pada UMNO sudah tidak dapat diperbetulkan lagi.
"Saya berpendapat rakan-rakan yang memilih untuk bersama PN adalah atas faktor yang sama, hilang keyakinan dengan kepimpinan parti yang membawa UMNO menyimpang daripada perjuangan asal menjadi tempat naungan dan perjuangan orang Melayu," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang menyertai UMNO sejak 2004 berkata, usaha mengubah UMNO dari dalam telah diusahakan ramai pihak, namun tidak berjaya.
Katanya, keputusan parti untuk menjalin kerjasama dan kekal bersama Pakatan Harapan (PH) melangkaui pilihan raya menjadi bukti kukuh bahawa UMNO bukan sahaja menggadai falsafah perjuangan sebaliknya perlu berkorban agihan kerusi.
"Paling jelas dapat dilihat apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya diberikan sebilangan kecil kerusi pada pilihan raya negeri yang terdekat ini.
"Jika hanya diberikan sedikit jumlah kerusi, tidak ada logika untuk UMNO kembali menjadi gergasi politik dan berkuasa di tanah air, sebaliknya melukut di tepi gantang dan selamanya menjadi parti pelengkap bagi menubuhkan kerajaan," katanya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun itu berharap, sokongannya terhadap PN dapat membantu memperkasa gabungan parti itu dalam mensejahterakan negara dengan telus dan penuh integriti.
Katanya, perjuangan dibawa PN telah terbukti mendapat sokongan besar rakyat terutama kalangan generasi muda melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Saya akan cuba memainkan peranan agar agenda ini dapat diperkasakan tanpa mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh UMNO sebelum ini.
"Sokongan padu anak muda yang diberikan kepada PN juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan jaminan masa depan yang lebih baik," katanya.
Pada Jumaat, Faridzul Azlan bersama beberapa bekas pemimpin UMNO lain termasuk Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin hadir dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kota Bharu, Kelantan.
Dalam majlis itu turut dimumkan barisan bekas pemimpin UMNO yang menyatakan sokongan terhadap PN antaranya Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh Afiq Amani Annuar iaitu anak kepada Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!