Kebun terbiar di Paya Kopi terbakar lagi!
PAGOH - Tidak sampai seminggu kerja pemadaman kebun di Paya Kopi, Jalan Kangkar Senangar di sini selesai, kawasan itu dilaporkan terbakar lagi kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Norashid Mamat berkata, kebakaran masuk kali ketiga itu dipercayai berlaku akibat cuaca kering dan panas.
Katanya, dalam kejadian 28 April lalu, kebun terbiar berstruktur tanah gambut seluas hampir tiga hektar itu dilaporkan terbakar.
“Pasukan BBP Pagoh mengambil masa selama empat hari untuk memadamkan sebahagian kebun yang telah terjejas seluas kira-kira 1.5 hektar ini.
“Bagaimanapun selepas empat hari operasi ditamatkan, kami menerima sekali lagi laporan kebakaran di kebun sama pada Khamis lepas,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh di sini, semalam.
Menurut Norashid, kerja pemadaman bagi kali kedua dilakukan selama dua hari sebelum selesai keesokan harinya.
“Ia tidak terbakar di lokasi sama, namun merebak ke kawasan berhampiran dan kali itu, keluasan tanah yang terjejas adalah lebih kecil iaitu 1.2 hektar.
“Bomba pada ketika itu terpaksa menggunakan teknik total flooding atau banjir. Bagaimanapun, selain keadaan cuaca, ketebalan tanah gambut sehingga lima kaki telah menyebabkan air sukar menembusi ke dalam dan kejadian sama berulang lagi semalam (kelmarin),” katanya.
Menurut beliau, bagaimanapun kebakaran kali ini dilaporkan lebih terkawal berikutan hanya menjejaskan tanah kebun seluas hampir sehektar sahaja.
“Kami telah memutuskan beberapa teknik untuk kerja-kerja pemadaman hari ini (semalam) iaitu total flooding, empat pancutan serta membuat parit di kawasan yang terbakar.
“Ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang di mana sebelum ini, api dari bawah tanah telah merebak dan menyebabkan berlakunya kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, selain faktor cuaca dan struktur tanah, bomba berdepan masalah membawa masuk jentera serta peralatan ekoran laluan di kebun itu tidak stabil.
“Bomba terpaksa memunggah peralatan menggunakan kenderaan pacuan empat roda daripada pemilik kebun berhampiran. Meskipun sedikit sukar, namun kami tetap berusaha sehabis baik bagi memastikan operasi ini dapat ditamatkan semalam.
“Dalam masa sama, kami juga telah maklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan ini bagi mengenal pasti pemilik kebun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!