Satu sangkar ikan, satu keluarga antara tawaran manifesto Tok Nan

Ton Nan (kiri) meluangkan masa bersama anak muda di Tendong, Pasir Mas.
Ton Nan (kiri) meluangkan masa bersama anak muda di Tendong, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Nan menawarkan empat manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, antaranya satu sangkar satu keluarga.

Beliau akan mengaktifkan sistem perparitan yang sedia ada dengan ternakan ikan sangkar di setiap mukim serta mengenal pasti jenis tanaman di bawah hub pertanian dan perikanan berfokus.

"Jika diberi mandat oleh rakyat, saya juga akan mengusahakan jalan alternatif atau 'fly over' bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cabang Empat Tendong.

"Membina sebuah dewan serbaguna, mengatasi masalah banjir di beberapa tempat yang disebabkan oleh sistem perparitan dan semua ini di bawah mewujudkan dan menaiktaraf jaringan kemudahan asas, jalan raya," katanya kepada pemberita.

Menurut Tok Nan, sebuah pusat sehenti prihatin juga akan diwujudkan bagi menjamin kebajikan golongan miskin dengan menawarkan latihan pendidikan akademik serta kemahiran.

Ujarnya, yang terakhir ialah Tendong sebagai gedung ilmu iaitu mewujudkan pusat pembelajaran di semua peringkat golongan daripada pra sekolah, tahfiz sehingga ijazah kedoktoran PhD.

Beliau memberitahu, ia melalui jaringan kerjasama yang kukuh dengan institut pengajian tinggi (IPT) dan pusat kemahiran dengan industri.

"Keempat-empat manifesto ini yang saya namakan Tunjang Revolusi Tok Nan akan memberi kelebihan kepada semua peringkat umur iaitu kanak-kanak hingga warga emas," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan aktivis masyarakat, Suzainal membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas pada PRN bagi DUN Tendong.

Kehadiran Suzainal itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Bebas, Pas dan Barisan Nasional (BN).

Pada PRN 12 Ogos ini Pas diwakili penyandang kerusi itu Rozi Mohamad manakala BN mempertaruhkan muka baharu Noor Hariri Mohamed Noor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!