Lebih setahun jejantas 'lut sinar' didakwa tidak dibaik pulih
KUANTAN - Orang ramai termasuk pelajar melahirkan rasa kesal dengan keadaan jejantas yang tidak berbumbung di Jalan Beserah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar dan SMK Saint Thomas, dikatakan lebih setahun seperti dibiarkan terbengkalai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kerja pembaikan seolah-olah tidak diteruskan kerana kelihatan sama seperti tular di laman sosial Facebook pada 7 November 2022.
Namun, keadaan jejantas secara keseluruhan tanpa bumbung menyebabkan pengguna tidak terlindung daripada matahari atau hujan ketika melalui kemudahan tersebut.
Peniaga, Abdul Sei, 54, memberitahu seperti ada usaha untuk menambah baik kemudahan terbabit sejak beberapa bulan lalu apabila keseluruhan bumbung yang tercabut, kopak dan berkarat sudah dibuang sepenuhnya.
Menurutnya, namun kerja-kerja terbabit seperti berakhir setakat itu sahaja dan sehingga hari ini jejantas berkenaan masih kekal lut sinar.
“Saya sudah lama berniaga di sini dan sering terima keluh kesah ibu bapa yang datang mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah. Mereka kecewa sebab sudah bertahun-tahun masalah jejantas ini tidak selesai.
“Keadaan bertambah teruk jika musim hujan kerana pelajar tidak dapat berteduh dan hanya ada hentian bas kecil. Pelajar ramai kerana ada beberapa sekolah yang pelajarnya menggunakan jejantas ini," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Bapa kepada lima anak itu berkata, jejentas ini pernah tular di media sosial pada November tahun lalu, bagi membolehkan pihak berkaitan segera membaik pulih kemudahan terbabit.
Namun, tambahnya, kerja pembaikan bumbung itu masih gagal dilaksanakan.
"Kita tidak tahu apa punca kerja-kerja ini tidak dapat dilakukan, adakah pihak berkenaan tidak mempunyai peruntukan atau sebagainya.
"Jadi, kita harap ada penjelasan supaya semua tahu apakah masalah sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan jejantas ini dibiarkan terbengkalai begitu lama," ujarnya.
Seorang pengguna laluan itu, Aina Abdullah, 35, meminta pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk membaik pulih jejantas itu.
Penjawat awam itu berkata, ia penting bagi memastikan kemudahan ini boleh digunakan dengan selesa pengguna khususnya pelajar sekolah.
“Saya juga kasihan melihat pelajar yang menggunakan jejantas ini yang terpaksa berhujan dan berpanas setiap hari kerana sudah ketiadaan atap,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kerja- kerja fizikal jejantas di jalan Beserah akan bermula selepas selesai urusan dokumentasi.
Difahamkan jejantas tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 4 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!