PRN: Calon Machang Bubok pengsan di pejabat, keletihan

Khai Loon (gambar kecil) pengsan di pejabatnya pada Ahad. - Foto Facebook Lee Khai Loon
Khai Loon (gambar kecil) pengsan di pejabatnya pada Ahad. - Foto Facebook Lee Khai Loon
A
A
A

GEORGETOWN - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Machang Bubok, Lee Khai Loon didapati tidak sedarkan diri di pejabatnya pada tengah hari Ahad.

Beliau dari Parti Keadilan Rakyat merupakan penyandang bagi kerusi berkenaan.

Kejadian tersebut dimaklumkan menerusi hantaran di Facebooknya pada jam 12.30 tengah hari dengan sekeping gambar memaparkan Khai Loon sedang terbaring dan dibantu oleh pembantunya.

Menerusi keterangan gambar itu, semua program Khai Loon yang dirancang sepanjang Ahad dibatalkan susulan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika dihubungi berkata, Khai Loon berada dalam keadaan baik dan sedang berehat di rumahnya.

Kata beliau, Khai Loon yang berusia 45 tahun itu hanya mengalami keletihan kerana sibuk berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) ini.

"Saya dimaklumkan beliau keletihan kerana sibuk dengan berkempen setiap hari, ditambah pula dengan keadaan cuaca yang panas sekarang ini. Bagaimanapun, tiada yang serius malah difahamkan dia tidak dirawat di klinik atau hospital pun.

"Kejadian berlaku di pusat khidmatnya dan ketika itu, ada beberapa pegawainya sedang bertugas. Dia pengsan seketika selepas pulang dari berkempen," katanya.

Tambah beliau, Khai Loon merupakan seorang pemimpin yang mempunyai tahap kesihatan yang bagus.

"Dia muda lagi dan masih 'fit' dan setahu saya, dia tiada sebarang penyakit. Semua program yang dirancang untuk hari ini (Ahad) dibatalkan kerana dia perlu berehat.

"Dia berkempen tanpa henti sejak Julai lalu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PH sekali gus membolehkan PKR mempertahankan kerusi di situ," katanya.

Kerusi Machang Bubok yang disandang Khai Loon menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara beliau dan calon dari Perikatan Nasional, Tan Hum Wei.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!