KKM kaji keperluan vaksin influenza kepada golongan berisiko
KUALA TERENGGANU - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan pemberian vaksin influenza kepada rakyat terutama golongan berisiko sekiranya diperlukan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun setakat ini kes jangkitan influenza dalam negara adalah terkawal dan pemberian vaksin di peringkat awal hanya akan melibatkan petugas KKM yang bekerja di barisan hadapan.
Beliau berkata, selain itu fasiliti kesihatan awam yang ada di seluruh negara juga cukup untuk menampung jumlah pesakit jika terdapat peningkatan kes influenza dalam masa terdekat.
"Berdasarkan data KKM untuk minggu epidemiologi ke-30 pada tahun ini, kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) di Klinik Kesihatan adalah 6.3 peratus, menurun berbanding minggu sebelum itu iaitu 6.4 peratus.
"Kadar kemasukan ke hospital pula adalah 7.1 peratus, juga sedikit menurun. Kes ada tapi setakat minggu akhir ini menurun...keadaan terkawal," katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir yang mula beroperasi Januari 2020 di sini, hari ini.
Klinik Kesihatan Manir yang dibina dengan kos RM19.7 juta, mula dibangunkan pada Disember 2016 dan siap pada September 2019, bagi menggantikan klinik lama berusia 54 tahun dan dilengkapi peralatan berteknologi moden yang mampu menerima 600 pesakit pada satu masa.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit sudah 99 peratus siap dan dijangka dapat beroperasi tahun hadapan dan bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat yang sudah menanti sekian lama.
Katanya, projek pembinaan Hospital Dungun yang dimulakan Februari 2016, diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dengan kos RM125 juta itu sepatutnya siap pada Mac 2022.
Bagaimanapun faktor kegagalan kontraktor dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan projek tersebut terbengkalai dan mengambil masa untuk disambung semula.
Difahamkan apabila siap, Hospital Dungun bakal menjadi hospital pakar ketiga di Terengganu selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman.
Bangunan tersebut mampu mencapai kapasiti 110 katil dengan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!