Penyeludup diesel serah diri, penat diekori 50 km

Seorang penyeludup menyerah diri dengan memberhentikan kenderaannya setelah diekori sejauh 50 km oleh penguat kuasa KPDN Kelantan pada Sabtu.
Seorang penyeludup menyerah diri dengan memberhentikan kenderaannya setelah diekori sejauh 50 km oleh penguat kuasa KPDN Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Seorang penyeludup diesel terpaksa menyerah diri dengan memberhentikan kenderaannya setelah penat diekori sejauh 50 kilometer (km) oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit diekori bermula dari Bachok ke Kota Bharu sehingga Pasir Pekan, Tumpat.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya telah mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berpendaftaran tempatan disyaki membawa minyak diesel dipercayai akan diseludup.

"Sebelum itu suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di jalan raya sekitar Kota Bharu.

"Suspek juga membuat pembelian pengisian minyak diesel secara berulang di beberapa stesen minyak," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, anggota penguat kuasa kemudiannya bertindak mengekori suspek dan apabila menyedari diekori lelaki terbabit dalam keadaan cemas memecut kenderaan menghala ke Tumpat melalui Jambatan Sultan Yahya Petra-Pasir Pekan.

Ujarnya, suspek yang merupakan warga tempatan kemudiannya bertindak memberhentikan kenderaan setelah penat diekori bermula dari Bachok.

Azman memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit telah menemui 800 liter minyak diesel yang diisi di dalam tong-tong jerikin dengan nilai rampasan anggaran berjumlah RM1,720.

"Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan sekitar Kota Bharu - Tumpat dan sempadan negara ini turut disertai oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat.

"KPDN Kelantan sentiasa mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini dari masa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!