Khianat papan iklan calon PN, polis Selangor buka kertas siasatan
SHAH ALAM - Polis Selangor membuka satu kertas siasatan berkaitan kes papan iklan calon Perikatan Nasional dirobohkan oleh individu yang tidak dikenali, pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Polis Selangor telah menerima 55 laporan dan membuka satu kertas siasatan berkaitan pilihan raya negeri (PRN), pada Sabtu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Hussein berkata, sebanyak 54 laporan polis telah diklasifikasikan sebagai NOD (no offence diclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.
"Laporan itu dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mendapati hanya satu kempen dijalankan tanpa permit.
"Setakat Sabtu, 286 kempen dan 90 ceramah dijalankan dengan memiliki permit," katanya.
Menurutnya, semua calon hendaklah memastikan bahawa pemasangan bendera parti, kain rentang dan poster tidak diletakkan di pagar premis kerajaan dan rumah ibadat.
"Di samping itu juga, bahan kempen itu dinasihatkan tidak dipasang di lampu isyarat jalan, simpang jalan yang boleh menghalang pandangan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!