Calon PN DUN Jeram Padang nafi terlibat kongsi gelap

Surash menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Surash menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
A
A
A

JEMPOL - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S Surash menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam aktiviti kongsi gelap seperti dalam video tular di aplikasi Whatsapp pada Sabtu.

Katanya, perbuatan itu terang-terangan bertujuan untuk menganggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang disertainya selaku calon DUN berkenaan.

"Banyak yang tidak berasas dalam itu...pasal pendidikan saya, isu-isu pasal wang dan kereta saya miliki....itu semua tidak benar kerana kalau saya buat jahat saya percaya pihak polis ada sentiasa memantau saya.

“Mereka tahu siapa saya sebenarnya, lagipun sebelum jadi calon sebelum dapat watikah kita kena juga buat satu laporan polis untuk saringan. Sekarang ini masih lagi orang hantar (fitnah) yang buruk, bukan sahaja kata saya terlibat kongsi gelap tetapi menyentuh peribadi," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Katanya, laporan polis dibuat bagi menegakkan keadilan mengikut undang-undang sekali gus mencegah jenayah fitnah yang dilihat mampu mengugat keharmonian negara.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan fitnah itu dan saya yakin tindakan pihak tidak bertanggingjawab itu disebabkan tidak berpuas hati atas kebajikan terhadap penduduk DUN Jeram Padang selama ini.

"Bagaimana pun saya percaya warga DUN Jeram Padang tahu siapa saya dan cara saya berkerja terutamanya sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) yang lepas,kini PRN,"katanya.

Video berdurasi 4:12 minit itu antara lain memaparkan Surash mempunyai tatu disyaki ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap,selain sering memakai pakaian dan kereta berjenama termasuklah gambarnya sedang bersosial.

Surash sebelum itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada jam 10.53 pagi Ahad,diiringi oleh jentera pilihan raya PN DUN Jeram Padang.

Sementara itu,Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan polis itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pada PRU14, Surash bertanding sebagai calon bebas di DUN sama dan berjaya meraih undi kedua tertinggi selepas calon Barisan Nasional ( BN) Datuk L Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.

Surash memperolehi 2,640 undi dan sebagai calon bebas undi yang diterimanya adalah luar biasa berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 2,302 manakala calon daripada Pas mendapat 785 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!