Mana mahu lari, polis buru suspek mengintai di tandas
TAPAH - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak dekat sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada Sabtu sekitar jam 4.50 petang.
Menurutnya, mangsa berusia 33 tahun yang menyedari perbuatan jelik suspek telah tampil membuat laporan polis.
"Berdasarkan laporan, mangsa menyedari diintai seseorang melalui ruang atas tandas.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke tandas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dilihat beredar daripada kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.
Katanya, berdasarkan semakan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek, ia didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Pusing, Batu Gajah.
"Usaha mengesan suspek dibuat berdasarkan kepada nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan," katanya.
Rakaman CCTV berdurasi 41 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan seorang lelaki sedang menunggu di hadapan ruang tandas.
Seorang wanita dilihat masuk ke dalam tandas dan tidak lama selepas itu, suspek turut menyusup masuk ke tandas sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!