Yayasan Allammiyyah santuni 80 pelajar asnaf melawat ibu negara

Pelajar-pelajar dibawa melawat Skybridge Petronas Twin Tower.
Pelajar-pelajar dibawa melawat Skybridge Petronas Twin Tower.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Allammiyyah bersama Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Petronas menyantuni seramai 80 orang pelajar Institusi Pengajian Pondok Tradisional Melayu yang terdiri daripada golongan asnaf dengan mengadakan lawatan ke ibu negara.

Lawatan pendidikan yang diadakan pada Sabtu lalu itu merupakan program tahunan anjuran Yayasan Allammiyyah bersama pelajar institusi berkenaan sejak tahun 2010.

Menurut Yayasan Allammiyyah dalam satu kenyataan, pelajar dibawa melawat Muzium Kesenian Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk melihat secara lebih dekat khazanah peninggalan Islam.

"Seterusnya pelajar dibawa untuk menikmati pandangan dari bangunan ikonik negara, Petronas Twin Tower - Skybridge dan Top Tower, Observation Deck di tingkat 83 dan 86.

"Program ini bertujuan memberikan pendedahan melalui pengalaman dengan berkonsepkan ‘online and real time’ iaitu sistem pembelajaran yang bertindak balas terhadap peristiwa dengan cepat dan tepat kepada pelajar-pelajar pondok ini," katanya pada Ahad.

Muhamad Najmi
Muhamad Najmi

Sementara itu, Pengasas Yayasan Allamiyyah, Muhamad Najmi Mohd Aris berkata, diharapkan semua pelajar mendapat manfaat melalui program-program yang telah diaturkan.

"Secara mata kasar kita melihat Muzium Kesenian Islam dan KLCC namun disebalik itu kita melihat semua kebesaran ciptaan ALLAH yang memberi akal kepada makluknya untuk menzahirkan apa yang kita lihat pada hari ini.

"Ia merupakan inisiatif pihak Yayasan Allammiyyah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar yang majoriti berasal dari keluarga fakir miskin dan anak yatim," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!