Berhati-hati bergantung kepada maklumat dijana AI - Peguam

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Entiti media yang beroperasi di Malaysia digesa berhati-hati dan melakukan pertimbangan kritikal apabila bergantung kepada maklumat yang dihasilkan oleh ChatGPT atau model bahasa Kecerdasan Buatan (AI) yang serupa, kata Wakil Badan Peguam negeri Selangor dalam Majlis Peguam, Kokila Vaani Vadiveloo.

Nasihat itu dilakukan ekoran output diperoleh secara eksklusif daripada aturan algoritma tidak mempunyai pengesahan manusia.

Peguam itu bersetuju bahawa walaupun model AI seperti ChatGPT boleh memberikan pandangan dan maklumat yang berharga, ia harus dilihat sebagai alat dan bukannya sumber yang sempurna.

"Organisasi berita sering meningkatkan kewaspadaan dan ketekunan apabila menerbitkan sesuatu artikel mengenai keputusan mahkamah atau perkara yang melibatkan Majistret atau hakim, berbanding laporan berita yang dihasilkan oleh algoritma seperti ChatGPT.

"Penerapan sikap berhati-hati dan berjaga-jaga mungkin hilang apabila laporan berita dibuat oleh algoritma seperti dalam ChatGPT," katanya dalam temu bual eksklusif, baru-baru ini.

ChatGPT, model berkuasa AI yang diperkenalkan oleh OpenAI pada November 2022, beroperasi dengan mengautomasikan teknologi chatbot.

Mengulas mengenai undang-undang hak cipta Malaysia yang dijana AI, Kokila Vaani, menyatakan bahawa landskap undang-undang di Malaysia kurang jelas sama ada kandungan berita yang dijana AI dilindungi oleh undang-undang hak cipta.

Beliau menyatakan bahawa beberapa faktor memainkan peranan bagi menentukan kelayakannya untuk dilindungi.

"Campur tangan manusia dalam proses penciptaan kandungan adalah satu faktor yang sedang dipertimbangkan. Jika kandungan berita yang dijana oleh AI adalah hasil daripada proses algoritma, ia kurang berkemungkinan mendapat perlindungan hak cipta.

"Keaslian juga merupakan pertimbangan utama; jika kandungan itu hanya mereplikasi maklumat sedia ada, perlindungan hak cipta adalah tidak mungkin,” katanya.

Kokila Vaani memetik kes terkenal dari American Jurisprudence, membabitkan Kris Kashtanova.

"Dalam kes ini, Kashtanova menaip arahan untuk novel grafik ke dalam program AI yang menyebabkan perdebatan hangat mengenai siapa yang mencipta karya seni itu; manusia atau algoritma. Kashtanova memperoleh hak cipta pada mulanya tetapi ia telah dilucutkan oleh Pejabat Hak Cipta Negara kerana mereka percaya bahawa karya Kashtanova 'bukan hasil tangan manusia,' tambahnya.

Mengenai peraturan dan garis panduan yang mengawal AI dalam pelaporan berita di Malaysia, Kokila Vaani menyatakan ketiadaan peruntukan khusus.

Namun begitu, beliau menekankan beberapa undang-undang dan prinsip sedia ada yang terpakai untuk laporan berita yang menggunakannAI, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (MCMA), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), dan Kanun Keseksaan.

Undang-undang ini, tegasnya, adalah penting untuk dipertimbangkan oleh penerbit berita apabila menggunakan pelaporan berita AI.

MCMA melarang penyebaran berita palsu atau mengelirukan, PDPA mewajibkan mendapat persetujuan sebelum mengumpul data peribadi dan Kanun Keseksaan menangani fitnah jenayah.

Peguam itu juga menegaskan bahawa ketelusan adalah penting bagi sesebuah organisasi berita dalam memastikan pematuhan laporan sesuatu berita.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi AI dalam menangani isu etika berkaitan penggunaan teknologi itu.

Fahmi berkata, penubuhan rangka kerja itu akan membantu kerajaan memahami beberapa cabaran penggunaan teknologi baharu itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!