Dua beranak maut nahas tiga kenderaan
NILAI - Dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 276.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) ) arah selatan di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, pemandu Perodua Kancil berusia 30 tahun maut di lokasi kejadian manakala anaknya yang berusia dua tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Melaka.
"Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar kereta itu disyaki pecah menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang pembahagi jalan di lorong kanan.
"Pada masa sama sebuah Perodua Myvi yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan telah melanggar Perodua Kancil terbabit dan Perodua Myvi lain yang berada di lorong kedua," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban pada jam 7.40 pagi Ahad.
Tambahnya, isteri mangsa yang berusia 27 tahun serta seorang lagi anak mereka berusia lima tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah.
"Dua pemandu dan seorang penumpang kenderaan lain mengalami kecederaan ringan.
"Mangsa yang cedera telah dihantar ke HTJ dan Hospital Kajang untuk rawatan manakala mangsa yang maut dibawa ke HTJ bagi proses bedah siasat, "katanya.
Abdul Malik berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019- 4611794.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!