Suspek pecah rumah ditahan
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Desa Cemerlang, di sini, apabila menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kesemua kes pecah rumah tersebut pada awal pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden, Mohd Sohaimi Ishak, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sekitar 3.30 pagi dan polis turut merampas 20 barangan berharga seperti sebuah kereta jenis Honda Jazz, laptop (tiga), tab (dua), kad pengenalan warga tempatan (tiga) dan beg galas pelbagai jenama (tiga). Turut dirampas, pasport milik warga Indonesia (empat) selain satu alat kawalan jauh kereta, komputer riba, beg duit dan dua jenis telefon bimbit.
"Hasil semakan, suspek didapati memiliki lapan rekod pelbagai kesalahan jenayah.
"Selain itu, hasil saringan ujian air kencing, suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kes di siasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Jika didapati kesalahan boleh dihukum penjara selama 14 tahun dan dikenakan denda.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan dikenakan denda.
Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama lima hari mulai 5 hingga 9 Ogos 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!