Anwar harap tiga DUN di Permatang Pauh menang bergaya
PERMATANG PAUH - Pakatan Harapan (PH) perlu menebus kekalahan di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memastikan kemenangan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sedih dengan kekalahan itu namun beliau reda dan menghormati keputusan rakyat.
"Tak apalah baru-baru ini kita kalah di Permatang Pauh...Dalam banyak-banyak saya sedih juga sikit, tapi tak apa keputusan itu saya hormat.
"Ada saya marah orang? Tetapi kali ini (PRN Pulau Pinang) saya minta Penanti, Permatang Pasir, Seberang Jaya dan juga calon-calon di kawasan lain perlu bagi kemenangan yang bergaya kepada Pakatan Harapan," katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Guar Perahu di sini pada Sabtu.
Pada PRU15 lalu menyaksikan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR selama 40 tahun berjaya ditawan oleh Perikatan Nasional (PN).
Nurul Izzah Anwar yang menyandang kerusi berkenaan tewas di tangan calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi dalam saingan empat penjuru.
Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi, Nurul Izzah mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra) hanya meraih 473 undi.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan legasi keluarga Anwar juga pernah disandang oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada PRU12.
Sementara itu, pada pentas sama, Anwar yakin PH akan terus menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN kali ini selain mampu merampas Kedah daripada PN termasuk kerusi DUN Jeneri yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Md Nor.
"Insya-ALLAH tiga negeri yang ditadbir oleh PH sebelum ini masih kuat di tangan kita malah saya lihat Kedah juga boleh kita tawan berikutan sambutan yang sangat baik ketika saya turun di sana pada Jumaat termasuk di Jeneri apabila beribu-ribu orang sambut saya.
"Saya tak mahu takabur tetapi saya jangka sekurang-kurangnya empat negeri kita boleh tawan pada PRN nanti," katanya.
Anwar berkata, sama ada tiga atau empat negeri yang akan ditawan oleh PH pada 12 Ogos nanti tidak memberi perbezaan ketara kerana di peringkat Parlimen kedudukan PH masih kuat dan akan kekal dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!