TLDM selamatkan bot pancing terapung tiga hari sebab enjin rosak
IPOH - Kapal Diraja (KD) Laksamana Tun Abdul Jamil menyelamatkan 14 mangsa di atas bot pancing Northern Hunter yang terapung selama tiga hari akibat kerosakan enjin berhampiran Pulau Perak, petang Sabtu.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam kenyataan memaklumkan bertindak atas maklumat, Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3, Pulau Langkawi mengatur gerak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang sedang dalam penugasan Operasi Rondaan Selat Melaka ke lokasi bot bagi menghulurkan bantuan.
"Setiba di lokasi, anggota teknikal kapal telah menyiasat punca enjin bot gagal dihidupkan dan mendapati ia diakibatkan oleh pukat yang bergumpal pada bebaling dan kemudi bot itu," menurut kenyataan berkenaan pada Ahad.
Kenyataan itu menjelaskan, KD Laksamana Tun Abdul Jamil telah menunda bot ke Pulau Segantang yang terletak sejauh 61 batu nautika (110 kilometer) dari lokasi kejadian dan setibanya pada 1.30 pagi, bot itu diserahkan kepada pemiliknya untuk ditarik ke jeti berhampiran bagi kerja-kerja pembaikan.
Kesemua mangsa yang terdiri daripada sembilan pemancing dan lima kru bot disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Tindakan pantas kapal yang di bawah pemerintahan Kdr Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus selaku Pegawai Memerintah telah berjaya menyelamatkan nyawa dan bot yang mengalami kecemasan di laut.
"Insiden ini sekali lagi membuktikan komitmen TLDM dalam memelihara kesejahteraan komuniti maritim negara," menurut kenyataan itu.
KD Laksamana Tun Abdul Jamil ialah kapal jenis Korvet Kelas Laksamana yang mula berkhidmat dalam Armada TLDM sejak 1997. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!