Komuniti Madani bantu salur maklumat kepada KKD

Fahmi (tengah) bersama warga komuniti pada Program Merdeka@Komuniti DUN Dengkil dan Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Madani Peringkat Zon Selatan Negeri Selangor Tahun 2023 di Jenderam pada Ahad.
Fahmi (tengah) bersama warga komuniti pada Program Merdeka@Komuniti DUN Dengkil dan Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Madani Peringkat Zon Selatan Negeri Selangor Tahun 2023 di Jenderam pada Ahad.
A
A
A

DENGKIL - Komuniti Madani yang dilantik berperanan sebagai mata dan telinga kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyalurkan maklumat berkaitan permasalahan rangkaian Internet di kawasan masing-masing, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menyifatkan Komuniti Madani sebagai jentera barisan hadapan kerajaan dalam menyalurkan maklumat serta input keperluan pembangunan, Fahmi berkata, peranan seumpama itu dapat membantu KKD dalam memastikan rakyat menikmati rangkaian Internet dan telekomunikasi pada tahap yang memuaskan.

"Kalau liputan Internet tidak stabil atau ada masalah, tolong maklumkan kepada penyelaras Japen (Jabatan Penerangan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti DUN Dengkil di Balai Raya Taman Desa Jenderam Hilir, di sini pada Ahad.

Komuniti Madani merupakan badan sukarela yang ditadbir urus oleh Japen dengan berlandaskan tiga teras utama iaitu membantu penyaluran maklumat kepada kerajaan; mendigitalkan komuniti serta memupuk semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan melantik 1,878 Komuniti Madani secara berfasa di seluruh negara. Sebanyak 168 Komuniti Madani telah dan sedang dilantik di Selangor melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Fahmi mahu Komuniti Madani bekerjasama dengan Japen dalam merangka program Bulan Kebangsaan yang bukan sahaja berunsur patriotik malah mampu menyemai semangat merdeka dalam jiwa setiap lapisan masyarakat.

"Harapan saya, program Bulan Kebangsaan ini akan bawa semangat patriotik bukan dalam bentuk luaran tapi disemat dalam jiwa,” katanya.

Ketika berucap merasmikan program tersebut, Fahmi mahu rakyat negara ini menjiwai perjuangan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum yang terdiri daripada pelbagai budaya serta menganut pelbagai agama.

Menyifatkan Allahyarham Dr Ismail sebagai Bapa Perpaduan dan tegas, beliau berkata, Dr Ismail merupakan seorang pemimpin yang tidak akan bertolak ansur dalam isu perkaitan hubungan antara kaum, bangsa dan agama di negara ini.

Dalam seruannya untuk rakyat negara ini meneruskan perjuangan Dr Ismail dengan mengamalkan sikap toleransi dan mengekalkan perpaduan sedia ada, Fahmi berkata: "Kalau bukan kita yang pertahankan perpaduan, maka siapa lagi.”

Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dari 1971 hingga 1973, merupakan antara tokoh penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!