MCA terus relevan - Ka Siong

Ka Siong berucap ketika Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor pada Ahad.
Ka Siong berucap ketika Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor pada Ahad.
A
A
A

KULAI - Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yakin parti itu akan terus relevan dan terus membantu sesiapa sahaja.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang telah lama bertapak di negara ini, MCA juga telah terbukti sebagai sebuah parti yang sering membantu parti lain.

Malah katanya, MCA juga memperjuangkan semangat muhibah, kebersamaan, menegaskan kepelbagaian dan nilai sejagat yang didokong.

"Saya rasa MCA telah terbukti sebagai parti yang berpengaruh dan kita ada falsafah sendiri. Tak kiralah sahabat kita sudah ada 'sahabat karib' lain... tak apa dan ia perlu dibuktikan dengan perjalanan dan kita sudah lama, sudah 70 tahun bersama dan ia bukan bersandarkan kepada kepentingan jangka pendek sahaja.

"Saya tak berani kata jangka panjang, dulu ada beberapa ketika di mana kita membantu Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan dalam komponen.

"Jadi kita rasa terpanggil untuk bantu sesiapa sahaja kerana kita sama-sama dalam keluarga, menghayati semangat kekeluargaan dan saya rasa ini adalah semangat BN sejati yang perlu tersemat dalam hati setiap penyokong," katanya pada sidang media setelah menyempurnakan perasmian Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor pada Ahad.

Ka Siong berkata demikian ketika mengulas mengenai hubungan MCA dengan parti komponen BN terutamanya UMNO yang mula bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Ka Siong berkata, MCA mempunyai struktur parti yang cukup baik ketika ini khususnya di Johor.

Katanya, berdasarkan kepada kedudukan dua kerusi di peringkat Parlimen selain tujuh kerusi (DUN), MCA boleh menjadi perintis dan mengepalai segala gerakan yang dilaksanakan kelak.

"Kita ada struktur parti yang cukup baik. Ada dua Parlimen dan tujuh DUN di mana enam daripadanya adalah dari Johor (2/3).

"Oleh itu, Johor perlu jadi perintis atau mengepalai segala gerakan untuk pastikan Johor sentiasa menjadi nombor satu dan membuktikan kesatuan parti.

"Malah, Johor juga merupakan negeri yang boleh diteladani contohnya, walaupun ada pertandingan sayap wanita dan pemuda di 26 bahagian, tidak ada saingan dan masih dapat berbincang. Ini satu strategi yang untuk kukuhkan parti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!