Tok Mat minta ahli PN undi BN

Mohamad Hasan. - Foto Bernama
Mohamad Hasan. - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Pengundi di enam negeri yang terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk ahli dari Perikatan Nasional (PN) diminta memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri selari dengan kerajaan pusat.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka perlu bijak memilih kerajaan yang boleh membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat.

"Kalau dia (PN) boleh minta (ahli UMNO menyokong PN), saya pula nak minta ahli PN sokonglah BN dan Kerajaan Perpaduan, kita sama-sama minta.

"Ini tugas kita masa kempen ini minta-meminta, pujuk-memujuk, dan rayu-merayu agar di situ nanti kita boleh terangkan kepada pengundi perbezaan jika kita meneliti kedua-dua parti (gabungan) yang bertanding," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Sawah, Rantau pada Ahad.

Mohamad yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, ketika ini hanya ada dua gabungan parti (BH-PH dan PN) sahaja berbanding sebelum ini sekali gus memudahkan pengundi untuk membuat pilihan.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta ahli UMNO menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu.

Menurut Hamzah, ia kerana dengan cara itu sahaja dapat mengubah masa depan parti tersebut sekali gus membolehkan ia diterima semula oleh rakyat.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula menyifatkan kenyataan Hamzah itu sebagai tindakan terdesak PN untuk meraih undi ahli UMNO.

Malah Jalaluddin turut menegaskan ia merupakan pendekatan yang dilakukan oleh kebanyakkan pemimpin PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!