Universiade: Hasrat Kimberly tambah pingat tidak kesampaian
Kimberly penyumbang pingat perak bersama Ong Ker Ying pada acara terjun 3m papan anjal seirama sebelum ini ternyata gagal bersaing pada acara individu ini.
Dia memulakan terjunan pertama dengan tidak memberangsangkan apabila mengumpul mata yang ke-10 terendah daripada 12 penerjun iaitu 48.60 mata.
Keputusan itu menyaksikan Kimberly berdepan kesukaran untuk mengejar para penerjun lain bagi mengubah kedudukan menaiki podium dengan terjunan tidak konsisten.
Dia terus melakukan terjunan terburuk pada pusingan keempat dengan hanya memungut 32.20 mata untuk kedudukan kedua terakhir.
Selepas berakhir lima terjunan Kimberly hanya mampu mengumpul 238.60 mata untuk berada dalam kedudukan ke-10 keseluruhan.
Dua penerjun China menguasai pingat emas dan perak yang menyaksikan Yang Ruilin mengumpul 364.05 mata diikuti rakan senegara Ouyang Yu (332.15 mata).
Pingat gangsa dimenangi penerjun Amerika Syarikat, Verzyk Sophia Grace yang memperoleh 316.45 mata.
Keputusan itu menyaksikan kem terjun yang menghantar dua penerjun muda meraih kejayaan membanggakan apabila pulang dengan satu pingat perak dari Universiade Chengdu kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!