Rafizi bentang Dasar Gaji Progresif esok

Rafizi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
Rafizi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Isnin, sebagai permulaan usaha menaikkan gaji rakyat.

Rafizi dalam ciapannya di Twitter pada Ahad berkata, jika usaha itu berjaya dilaksanakan, gaji rakyat semakin meningkat dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

Dasar itu katanya, akan melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Data-data terkini berkenaan gaji di setiap negeri adalah membimbangkan dengan median di sembilan negeri di Malaysia adalah RM2,000 atau kurang.

“Di Kelantan, angka ini sedikit sahaja mengatasi gaji minimum RM1,500. Hanya Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang mengatasi gaji median keseluruhan iaitu RM2,600.

“Ini bermaksud, setiap negeri di negara ini memiliki paras gaji median yang lebih rendah berbanding purata kebangsaan,” ciapnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Rafizi melahirkan kebimbangan apabila Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Suku Tahun 2023 menunjukkan sebahagian besar rakyat dibayar gaji yang rendah.

Ujarnya, sebanyak 82 peratus daripada 6.46 juta pekerja formal bergaji kurang dari RM5,000 sebulan manakala 35 peratus dibayar RM2,000 ke bawah.

Jelas Rafizi, 50 peratus populasi bekerja di Kelantan berpendapatan lebih sedikit RM100 daripada gaji minimum.

“Separuh populasi bekerja di Kuala Lumpur berpendapatan RM3,927 atau kurang yang mana ia tidak mencukupi dengan kos sara hidup yang meningkat.

“Perbezaan gaji yang berbeza ini hanya akan meningkatkan lagi jurang pembangunan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!