Kempen dengan baik, tidak perlu maki hamun - Anwar

Anwar melambaikan tangan kepada penyokong ketika hadir pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Petaling Jaya malam Ahad. - Foto Bernama
Anwar melambaikan tangan kepada penyokong ketika hadir pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Petaling Jaya malam Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [KEMAS KINI] Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati setiap parti termasuk pembangkang supaya berkempen secara berhemah dan tidak mencerca pihak lawan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebaiknya gelanggang kempen pada PRN kali ini perlu digunakan sebagai platform untuk memberi penjelasan berkenaan isu semasa kepada rakyat.

"Dalam politik nak cakap tegas boleh, tetapi jangan maki hamun. Saya dengar ceramah baru-baru ini kata "Anwar khianat, Anwar bodoh”...nasihat saya, kita jangan sombong sangat.

Dia (pembangkang) nak kritik tidak mengapa. Takkan saya buat semua betul, boleh tegur dan boleh bagi pandangan tetapi jangan menghina. Kempenlah dengan baik, tidak perlu maki dan tidak perlu cerca kerana akhirnya, kita kawan-kawan juga, keluarga juga, itu saya nak nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Perpaduan, di Dataran Anak Muda, di sini malam Ahad.

Sementara itu Anwar turut menyangkal dakwaan kononnya beliau dan Kerajaan Perpaduan angkuh dan zalim, malah tegasnya sebagai Perdana Menteri, beliau bersama barisan Kabinet sentiasa mahu menjadi pemimpin yang adil, menjaga kebajikan rakyat serta menolak amalan rasuah.

"Sekarang dia (pembangkang) panggil kita zalim. Zalim sebab hadapkan dia ke mahkamah sebab rasuah, bukan keputusan saya. Saya masuk keluar penjara duduk dalam penjara hampir 11 tahun.

Dah jadi Perdana Menteri bukan kerja saya nak zalim... buat apa ALLAH uji saya sebegitu teruk, bukan saya sahaja, Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail), anak-anak, keluarga dan rakan-rakan dalam perjuangan (turut menghadapinya)," katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan juga tidak pernah menafikan hak semua kaum di negara ini.

"Saya orang Islam, agama saya tidak ajar untuk menghina orang kerana warna kulit dan kaum. Kalau ada benda betul (kebaikan untuk rakyat), kita sokong... peruntukan untuk agenda Islam kita tambah, mahu angkat martabat Melayu, kita tambah (peruntukan).

"Semua ini (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke tidak membantah malah sokong kerana dia faham tentang keperluan negara," katanya. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!