Hadi Fayyadh tekad lebih tajam
PENYERANG PDRM FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak mahu mengekalkan momentum jaringan selepas membuka akaun gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Menurut pemain yang dipinjamkan dari Perak FC itu, dia mahu berusaha meledak lebih banyak gol sekali gus membantu PDRM FC meraih keputusan positif.
"Syukur Alhamdulillah. Saya nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih, keluarga dan penyokong yang sentiasa mendoakan saya. Ini (kejayaan menjaringkan gol) satu benda positif.
"Saya harap akan terus kekalkan momentum untuk jaringkan lebih banyak gol pada perlawanan akan datang. Jadi, saya kena usaha lebih gigih.
"Ini belum cukup dan saya harap dalam perlawanan akan datang, saya dan pasukan akan boleh beraksi lebih baik," katanya.
Hadi Fayyadh meledak gol dalam aksi Pusingan 16 perlawanan pertama Piala Malaysia ketika PDRM FC tewas kepada Selangor FC 1-4 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Khamis lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu pernah berkelana selama tiga musim di Liga Jepun sejak 2019 bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu memilih untuk kembali ke saingan Liga-M selepas disambar oleh Perak FC.
Namun, dia gagal menampilkan persembahan yang diharapkan oleh The Bos Gaurus dan pasukan itu telah meminjamkannya ke PDRM FC sehingga penghujung musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!