K-Semanis’23 tarik minat ceburi bidang sains dan teknologi

Dari kiri; Sa’adah, Sharifah Ruzaina dan Meen Tahrin
Dari kiri; Sa’adah, Sharifah Ruzaina dan Meen Tahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai aktiviti dan program dianjurkan bagi memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melibatkan sasaran nisbah 60:40 pelajar aliran Sains dan Teknologi berbanding Sastera atau Sains Sosial.

Melihat kepentingan sasaran itu terhadap kemajuan negara, beberapa program dirangka dan dijalankan di peringkat negeri dan antarabangsa bagi menarik semula minat pelajar selain mengubah persepsi bahawa aliran Sains sukar untuk diceburi antaranya Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi STEM (K-Semanis)’23 pada 9 dan 10 Ogos ini.

Progam kali ketiga dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang itu akan berlangsung di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.

Timbalan PPD Klang, Sektor Pembelajaran, Sa’adah Kasiran berkata, buat pertama kali K-Semanis berkolaborasi bersama UiTM Puncak Alam bagi menjayakan program bertaraf antarabangsa itu.

Katanya, UiTM Puncak Alam dipilih setelah meneliti kawasan persekitaran yang kondusif dan sesuai selain disokong Dekan Fakulti Pendidikan universiti itu.

“Terdahulu, K-Semanis hanya diadakan di peringkat negeri tetapi tahun ini, kami bawa ke peringkat lebih tinggi dengan penglibatan pelajar dari luar negara.

“Kolaborasi bersama universiti adalah strategi terbaik, apatah lagi dekan Fakulti Pendidikan UiTM amat menyokong dan bersemangat untuk merealisasikan program ini,” katanya.

Selain menerima penyertaan sekolah sekitar Selangor, K-Semanis’23 turut melibatkan beberapa institut pendidikan antarabangsa antaranya George Mason University (GMU), Amerika Syarikat; Universitas Negeri Semarang, Indonesia dan Lourdes College, Filipina.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM Puncak Alam, Profesor Madya Dr Sharifah Ruzaina Syed Aris berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkolaborasi dalam menyemarakkan kerjasama antara universiti dan PPD.

“Kami di universiti dan PPD bukan entiti yang berbeza apabila melibatkan bidang pendidikan, memandangkan kami juga tempat yang melahirkan para guru.

“Oleh itu, penganjuran K-Semanis dapat memberi sedikit sebanyak pendedahan kepada bakal guru kami agar mereka bersedia dengan cabaran pendidikan sekarang yang semakin maju seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

“Ia juga salah satu usaha meningkatkan semula kemasukan pelajar dalam bidang Sains dengan mempersiapkan bakal guru bagi menarik minat mereka menceburi bidang berkenaan dan seterusnya bekerja dalam bidang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, sisipan pendidikan Sinar Harian iaitu Sinar Bestari merupakan media rasmi kepada K-Semanis ’23.

Editor Eksekutif Lifestyle, Meen Tahrin berkata, pembabitan julung kali Sinar Bestari pada penganjuran kali ini bertujuan menyokong inisiatif penyelidikan dan inovasi Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pendidikan dan juga bakal pendidik.

“K-Semanis ini adalah salah satu usaha menyebar luas dan menyuburkan minat murid serta generasi muda terhadap STEM.

“Pendedahan bidang ini tidak terikat dengan pelajar semata-mata tetapi turut melibatkan ibu bapa khususnya, agar mereka terbuka hati untuk memberi dorongan padu kepada anak-anak menceburi aliran Sains.

“Percayalah bidang Sains tidaklah susah seperti yang dibayangkan jika ia didedahkan dengan kaedah yang sesuai melalui didik hibur (fun learning),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!