Infineon tambah pelaburan kerana yakin kestabilan politik negara - Anwar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat semikonduktor Infineon Technologies (Infineon) AG mengambil keputusan membuat pelaburan tambahan lima billion euro (RM25 bilion) baru-baru ini selepas diyakinkan tentang keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Beliau mendedahkan syarikat dari Jerman itu telah menyuarakan kebimbangan berhubung ketidakstabilan politik negara ketika hendak membuat pelaburan tambahan berkenaan.
"Saya kata insya-Allah, lima tahun tanpa gangguan, kita terangkan tentang dasar ekonomi, kita jelaskan tentang konsep Malaysia Madani, mereka berpuas hati Alhamdulillah,” katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Perdana di Ukay Perdana, dekat sini malam Ahad.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, syarikat berkenaan turut menyuarakan kerisauannya dan meminta kepastian tentang kewujudan puak pelampau agama dan bangsa di dalam negara.
"Dia bimbang takut golongan ini menang. Saya kata tak menang, insya-Allah. Bila jawab begitu, dia (Infeneon) bawa ke mesyuarat lima hari yang lalu di Jerman,” katanya.
Khamis lepas, Infineon mengumumkan perancangan untuk meningkatkan kemudahannya di Kulim, Kedah bagi membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak lima bilion euro bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sejak lima dekad lepas, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!