'Noktahkan miskin tegar tahun ini' - Anwar

Anwar ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan Bukit Antarabangsa, di sini pada Ahad.
Anwar ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan Bukit Antarabangsa, di sini pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menumpukan untuk menyelesaikan isu miskin tegar tahun ini.

Anwar berkata, ketika ini pentadbirannya lebih tertumpu kepada kebajikan rakyat berbanding projek mega berkaitan pembinaan mercu tanda dan bangunan ikonik dalam negara.

"Orang tanya, apa saya buat dalam tempoh lapan bulan (jadi kerajaan)? Jangan tanya saya untuk bina mercu tanda tertinggi, jambatan paling panjang.

"Anda rasa, saya sebagai PM (perdana menteri) boleh tidur nyenyak ke jika lihat ada rakyat miskin tegar tak mampu beli susu dan seragam sekolah? Biar kita noktahkan miskin tegar tahun 2023," katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan Bukit Antarabangsa, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan bersedia menyediakan peruntukan besar dalam misi menyelesaikan isu miskin tegar tersebut.

"Jika RM100 juta atau RM200 juta tak cukup, saya tak peduli dan saya akan cari. Semua menteri dan jabatan kerajaan mesti selesaikan isu miskin tegar. Itu janji saya.

"Tak boleh kita senang makan enak tetapi rakyat nak beli susu tak ada duit. Itu tidak boleh," katanya.

Pada ceramah berkenaan, beliau turut mengulangi untuk memberikan penumpuan kepada pembaikan infrastruktur sekolah terutama membabitkan kerosakan tandas.

"Hampir semua sekolah yang saya pergi di Baling dan Sabah (hadapi masalah tandas). Kita jadi pemimpin, jangan fikir anak cucu kita saja jadi saya arahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk semak semua keperluan sekolah.

"Ada orang kata, saya PM jaga tandas, saya tak terganggu pun. Lebih baik PM fikir hal tandas daripada menteri curi duit negeri," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut meletakkan keyakinan bahawa Selangor masih kubu kuat Pakatan Harapan (PH) walaupun Perikatan Nasional (PN) berusaha untuk merampas negeri tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!