Bacina mampu teruskan legasi Hodak di KL City - Haqimi
PENYERANG muda Kuala Lumpur City (KL City) FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli percaya jurulatih baharu pasukannya, Nenad Bacina mampu meneruskan legasi ditinggalkan bekas pengendali Bojan Hodak.
Pemain berusia 20 tahun itu berkata, Bacina mempunyai persamaan daripada segi taktikal yang direncanakan Hodak memandangkan kedua-dua mereka pernah bekerjasama sebelum ini.
"Bacina dan Hodak pernah bersama begitu lama, jadi taktikal mereka sama dan saya harap jurulatih baharu dapat beri yang terbaik buat KL City.
"Kami sebagai pemain pula akan beri komitmen 100 peratus baik di dalam mahupun luar padang bersama Bacina,” katanya ketika ditemui pada sebuah acara anjuran syarikat televisyen berbayar di sini, malam Ahad.
Bacina sebelum ini pernah menjadi pembantu jurulatih Hodak, antaranya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014, skuad bola sepak lelaki kebangsaan bawah 19 tahun pada (2017-2019), kelab Indonesia, PSM Makassar (2020) dan KL City (2021-2022).
Jurulatih dari Croatia itu juga pernah mengemudi dua kelab Singapura, Hougang United (2012) dan Tampines Rovers (2013) selain dilantik Pengarah Akademi Al-Fayhla FC di Arab Saudi tahun lepas sebelum kembali bersama KL City susulan peletakan jawatan Hodak bulan lepas.
Hodak mempunyai reputasi yang gah bersama KL City apabila membantu skuad warga kota itu menamatkan kemarau 32 tahun tanpa gelaran Piala Malaysia dengan menewaskan JDT, 2-0, pada final edisi 2021 selain naib juara Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.
Sementara itu, Muhammad Haqimi tekad memberikan aksi terbaik sekiranya mendapat kepercayaan Bacina untuk diturunkan dalam kesebelasan utama selepas ini.
Setakat ini, beliau telah membuat penampilan sebanyak sembilan kali dengan lapan daripadanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kempen Liga Super 2023.
Muhammad Haqimi juga yakin pasukannya mampu meneruskan rentak kecemerlangan selepas ketiadaan Hodak dengan menumpaskan Selangor FC dalam aksi jiran tetangga ‘Lembah Klang’ bagi saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, esok.
Pada pusingan pertama Liga Super 2023, KL City yang melayan kunjungan Selangor tumpas 1-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, April lepas.
KL City yang dikendalikan pengendali sementara, Miroslav Kuljanac, berjaya merakam dua kemenangan berturut-turut baru-baru ini dengan membelasah Kelantan FC 5-1 dalam kancah Liga Super diikuti kemenangan 4-0 ke atas Penang FC dalam pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!