Espargaro sekat hajat Bagnaia di Silverstone

Espargaro mengungguli GP British di Litar Silverstone malam Ahad. - Foto AFP
Espargaro mengungguli GP British di Litar Silverstone malam Ahad. - Foto AFP
A
A
A

PELUMBA Aorilia Racing, Aleix Espargaro membuktikan dia masih berbisa setelah mencatat kemenangan pertama musim ini di Grand Prix (GP) British selepas mengatasi pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dalam saingan penuh dramatik di Litar Silverstone, malam Ahad.

Dalam saingan itu, Bagnaia dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan keduanya di Silverstone selepas mendahului perlumbaan dengan baik.

Bagaimanapun, tanpa dijangka situasi berubah apabila hujan mula membasahi Litar Silverstone pada penghujung perlumbaan.

Keadaan itu membuatkan Bagnaia yang ketika itu mendahului perlumbaan terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelak sebarang kesilapan.

Kesempatan itu dimanfaatkan Espargaro apabila berjaya memintas Bagnaia di akhir perlumbaan untuk mengesahkan kemenangan pertamanya musim ini.

"Ia tidak masuk akal, saya berasa sangat baik dengan jentera ini.

"Pusingan terakhir adalah dramatik!" kata pelumba kelahiran Sepanyol itu yang menang walaupun bermula di petak ke-12.

Dalam perlumbaan itu, tempat ketiga menjadi milik pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari KTM selepas berjaya memintas pelumba CryptoDATA RNF, Miguel Oliveira pada penghujung perlumbaan.

Biarpun Bagnaia gagal meraih kemenangan di Silverstone, namun pelumba Itali itu terus menjarakkan kedudukan dalam carta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) setelah mengutip 214 mata.

Bagnaia meninggalkan pencabar terdekatnya, Jorge Martin (Pramac Racing) dengan perbezaan 41 mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!