Polis terima laporan hantaran palsu wujud rancangan merusuh
KUALA TERENGGANU - Polis menerima satu laporan berhubung hantaran palsu di laman sosial yang mendakwa wujud perancangan untuk mengadakan rusuhan oleh sebuah gabungan parti politik.
Ketua Urusetia Pilihan Raya Negeri (PRN) Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Chukai, Kemaman pada Ahad.
"Berdasarkan laporan itu, pengadu terlihat satu hantaran ayat berbunyi UMDAP sedang cuba mencipta rusuhan sepertimana yang berlaku pada 13 Mei.
"Hantaran itu dilihat ketika pengadu melayari laman sosial Facebook," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bagi menyekat penyebaran berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebar berita palsu.
Sementara itu, katanya, sebanyak 55 aktiviti ceramah diluluskan pada Sabtu iaitu melibatkan 36 permohonan (Perikatan Nasional), 18 permohonan (Barisan Nasional) dan satu permohonan dari Pakatan Harapan (PH).
"Pihak polis komited dalam mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam selari dengan Akta Polis dan lain-lain peruntukan undang-undang sedia ada.
"Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama dengan mematuhi segala peraturan sepanjang berlangsung tempoh pilihan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!