Cuaca panas: Kontinjen Malaysia '25th World Scout Jamboree di Seoul selamat

Kesemua 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan yang menyertai '25th World Scout Jamboree' bermula 1 hingga 12 Ogos di Seoul, Korea Selatan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum. - Gambar hiasan
Kesemua 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan yang menyertai '25th World Scout Jamboree' bermula 1 hingga 12 Ogos di Seoul, Korea Selatan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan yang menyertai '25th World Scout Jamboree' bermula 1 hingga 12 Ogos di Seoul, Korea Selatan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan pada Isnin.

"Menurut laporan awal, empat orang daripada kontinjen Malaysia telah mengalami masalah kesihatan seperti pening kepala, demam serta ruam. Kesemua mereka dilaporkan telah mendapat rawatan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus berhubung rapat dengan wakil kontinjen Malaysia dan pihak penganjur untuk mendapatkan perkembangan semasa.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul di alamat berikut; Kedutaan Besar Malaysia di Seoul - 129, Dokseodang-ro (Hannam-dong) Yongsan-gu, Seoul 04419 atau talian telefon (+822 2077-8600) dan alamat email (mwseoul@kln.gov.my).

Menurut laporan antarabangsa pada Ahad, beratus-ratus pengakap yang menyertai acara itu telah jatuh sakit, ekoran cuaca panas mencecah 35 darjah Celcius (95F).

Persatuan Pengakap mengesahkan kontinjen Britain seramai 4,500 orang sedang dipindahkan dari tapak perkhemahan di Saemangeum ke Seoul.

Pasukan Amerika Syarikat dan Singapura juga bertindak mengosongkan tapak berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!