Tiga maut, 11 cedera bangunan runtuh
TEHRAN - Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala 11 lagi cedera pada Ahad apabila beberapa bangunan sedang dalam pembinaan runtuh di ibu negara Iran Tehran, lapor media tempatan.
Insiden itu berlaku pada sebelah pagi ketika kakitangan Majlis Perbandaran Tehran, disokong oleh pasukan polis wilayah sedang menyelia kemusnahan sebuah bangunan "tidak selamat" di Daerah 19, Xinhua memetik laporan Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA).
Kejatuhan bangunan itu mengakibatkan lima bangunan bersebelahan yang tidak mematuhi syarat keselamatan runtuh, menyebabkan empat pegawai polis dan dua kakitangan majlis perbandaran tertimbus di bawah runtuhan, kata ISNA, memetik kenyataan Pusat Maklumat Polis Tehran.
Pasukan penyelamat berusaha untuk mengeluarkan mangsa dari runtuhan menurut kenyataan itu, sambil menambah empat orang berjaya diselamatkan setakat ini.
Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Jabatan Bomba Tehran, Jalal Maleki berkata, kejadian itu dilaporkan pada jam 12.24 tengah hari waktu tempatan (0854 GMT) dan pasukan penyelamat, disokong oleh kren dan peralatan pembersihan segera dihantar ke tempat kejadian.
Beliau menyatakan satu daripada bangunan runtuh sepenuhnya manakala yang lain runtuh sebahagiannya sambil menambah tidak ada pekerja di dalamnya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penerangan Polis Tehran, Babak Namakshenas, mengesahkan dua daripada mangsa adalah pegawai polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!