Shafie yakin Vivian pilihan rakyat Sandakan

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat di Sandakan mahu Vivian Wong Shir Yee sebagai wakil rakyat mereka.

Jelasnya, sejak hampir dua minggu berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, wanita muda berumur 30 tahun yang bertanding sebagai calon DAP itu sering mendapat sambutan hebat daripada rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

“Tarikh 11 Mei (hari mengundi PRK Sandakan) ini cukup penting bagi kita kerana ia akan menentukan siapa calon yang akan menang dan menjadi wakil rakyat di Sandakan.

“Saya sangat pasti semua rakyat di Sandakan akan menyokong Vivian Wong kerana saya nampak, setiap kali beliau berucap, sambutan daripada rakyat di sini cukup hebat,” katanya pada majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat di sini malam tadi.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri memahami harapan Vivian untuk merancakkan pembangunan di Sandakan dengan memastikan peluang pekerjaan mencukupi untuk rakyat di sini.

“Kerajaan akan pastikan kita semua akan membangunkan Sabah kerana kita ada ‘resepi’ untuk pergi jauh dalam pembangunan ekonomi negeri. “Kita ada minyak, kita ada pelancongan...jadi kita akan pastikan, kalau ada orang hendak melabur di Sabah, mereka akan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah,” katanya, sambil menyatakan harapan agar rakyat kelahiran Sabah yang berada di luar negeri dapat kembali membangunkan Sabah.

Menurut Mohd Shafie, Sabah berupaya untuk lebih maju daripada negeri-negeri maju di Semenanjung.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri kini sedang mengubah cara bekerja dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan mahu menyebarkan kekayaan negeri kepada rakyat, bukan orang tertentu sahaja yang mendapat kekayaan.

“Sebab itulah banyak kedai tutup, terutama di Sandakan, kerana ramai rakyat kita tidak ada duit. Ini tidak baik untuk kesihatan ekonomi negeri,” katanya. Mohd Shafie turut menjelaskan usaha berterusan kerajaan dalam tempoh setahun sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas untuk kebaikan rakyat.

Katanya, usaha mentransformasi negeri dan negara dalam tempoh singkat bukan mudah selepas ditadbir selama 60 tahun oleh sebuah kerajaan yang didapati telah melakukan kesilapan.

Apatah lagi mengambil alih kerajaan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak baik, katanya.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa sedar ada peluang dalam memajukan ekonomi Sabah.

“Oleh itu, kita mesti mempunyai minda yang betul untuk melakukan apa yang betul, walaupun kita melaksanakannya (pembangunan) pada kadar perlahan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan