Inspektor Sheila akan fail bantahan awal kes aib, ugut
SELAYANG - Pihak pembelaan bagi pihak Inspektor Sheila akan memfailkan bantahan awal di Mahkamah Majistret, di sini dalam masa terdekat terhadap dua pertuduhan mengaibkan dan satu kes mengugut yang dikenakan terhadapnya.
Ketika sebutan kes di hadapan Majistret, Chai Guan Hock, peguam, M Manoharan yang mewakili Sheila atau nama sebenarnya S. Sheila Sharon, 35, berkata, bantahan itu dibuat kerana kesemua pertuduhan adalah remeh dan tidak berasas.
"Kami kemukakan bantahan tersebut dengan menyentuh peruntukan sebagai mana dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Selain itu, pihak pembelaan juga ingin mendapatkan kepastian sama ada ketiga-tiga pertuduhan ini akan dibicarakan dalam satu mahkamah atau berasingan," katanya yang turut disertai peguam, P subramaniam dan S Raveentharan.
Beliau berkata, pihak pembelaan percaya, saksi yang sama akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Guan Hock kemudiannya berkata, jika terdapat permohonan untuk menggabungkan kes, perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada pihak pendakwaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi berkata, semua dokumen berkaitan kes telah diberikan kepada pihak pembelaan kecuali rakaman video.
Dalam prosiding ini, penjawat awam itu didakwa mengugut M Silverkoomarie, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas itu, di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini, pada 1.25 tengah hari, 15 Jun lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai polis wanita itu juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki, P Taneswaran, 31, dengan berkata 'you tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu' di lokasi dan tarikh sama, pada jam 1 tengah hari, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sementara di hadapan Majistret, Nur Hafizah Rajuni, Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Beghwant Singh turut memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes.
Bagi kes ini, Sheila didakwa menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di lokasi sama, pada 1.25 tengah hari, tarikh serupa.
Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!