UTeM biayai pengajian pelajar susah
![Nabilah (enam,kiri) ketika menerima kunjungan warga UTeM yang diketuai Dr.Massila (tujuh,kiri) di kediamannya di Alai, pada Isnin.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/08/07/2296472.jpg)
MELAKA - Seorang anak pengawal keselamatan hampir melupakan impiannya untuk menyambung pengajian setelah bapanya yang mengidap sakit jantung tidak dapat bekerja dan dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Bagaimanapun kesusahan dan kesulitan yang dilalui Nabilah Zainuddin,19, berjaya dihidu pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan membantu memberikan bantuan awal untuk membolehkan dia mendaftar masuk di universiti berkenaan.
Nabilah yang ditawarkan Diploma Kejuruteraan Pembuatan berkata, dia hampir melupakan cita-citanya untuk menyambung pengajian di menara gading setelah bapa ditimpa sakit dan terpaksa menjalani pembedahan jantung.
Malah menurutnya, pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada ibunya, Siti Noormasurah Ahmad,49, yang hanya bekerja sebagai pembantu kantin selain turut mengalami masalah kesihatan.
"Alhamdulillah UTeM datang membantu, dan cita-cita saya memang mahu menyambung pengajian di UTeM tercapai.
"Melihat Keadaan ibu dan ayah serta keadaan kesusahan yang dialami membakar semangat saya untuk menjadi pelajar yang berjaya dan dapat bantu ekonomi keluarga," katanya ketika menerima kunjungan Naib Canselor UTeM, Prof Dr.Massila Kamalrudin di kediamannya di Alai di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Dr.Massila berkata, Nabilah yang ditawarkan menyambung pengajian di universiti itu tidak mampu untuk memulakan pengajiannya susulan kesusahan hidupan dan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga.
Menurutnya, atas sikap prihatin UTeM menghulurkan sumbangan awal pembiayaan yuran semester satu berjumlah RM914 bagi membolehkan dia memulakan pengajiannya.
"UTeM turut akan membayar elaun sara hidup sebanyak RM500 sebulan bagi memudahkan urusannya memulakan kehidupan sebagai pelajar di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!