Tiada tangan ghaib, Rakphol bebas pilih pemain - FAM

Rosmadi (kanan) dan Rakphol (dua dari kanan) dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin. - Foto FAM
Rosmadi (kanan) dan Rakphol (dua dari kanan) dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin. - Foto FAM
A
A
A

TEKA-TEKI mengenai jawatan ketua jurulatih baharu skuad futsal negara terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Rakphol Sainetngam dari Thailand.

Pengerusi Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, Rakphol akan memulakan tugas pertamanya pada 10 September dalam persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 yang akan berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2023.

“Diharapkan dengan kehadiran Rakphol sebagai ketua jurulatih akan memberi impak dan kejayaan yang baik kepada pembangunan futsal di Malaysia dan juga kepada pasukan kebangsaan," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan Rakhpol akan diberikan kuasa penuh untuk pemilihan pemain dan menegaskan tiada unsur tangan ghaib akan mengganggu pengendali dari Thailand itu.

“Untuk pemilihan pemain, kita akan gunakan sistem pemilihan yang sedia ada. Kita akan berikan kebebasan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk dia pilih pemain yang terbaik.

“Kita di pihak pengurusan dan di FAM ini tidak mengamalkan tangan-tangan ghaib. Apa yang penting pemilihan pemain akan mengikut selera jurulatih dan apa yang dilihat olehnya sebagai pemain yang terbaik untuk mewakili pasukan kebangsaan.

“Untuk struktur liga tahun hadapan, kami akan mendapatkan pandangan dengan ketua jurulatih dan akan bekerjasama rapat untuk memastikan kita mempunyai liga yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” katanya.

Rakphol sebelum ini merupakan ketua jurulatih Black Steel FC Papua yang membawa kelab itu menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 di Korat, Thailand pada Mei lalu dan seterusnya berjaya meraih tempat ketiga Liga Futsal Profesional Indonesia 2022/23.

Sebelum berhijrah ke Indonesia pada penghujung 2019, Rakphol memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih futsal di Thailand, sama ada bersama skuad futsal lelaki dan wanita kebangsaan Thailand serta membimbing kelab Rattanabundit University (2009-2012) dan Chonburi Bluewave (2012-2019).

Di peringkat Liga Futsal Thailand, Rakphol berjaya membawa pasukan bimbingannya muncul juara pada 2010, 2011/12, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017, selain turut menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFC 2017 bersama Chonburi Bluewave.

Ia sekali gus menobatkan Rakphol sebagai pemenang Jurulatih Terbaik Liga Futsal Thailand sebanyak tujuh kali sepanjang 2010 hingga 2017.

Di peringkat pasukan kebangsaan pula, Rakphol membimbing Thailand selaku ketua jurulatih untuk menjuarai Sukan Universiti ASEAN 2010, tempat keempat Kejuaraan Futsal Universiti Dunia 2012 dan layak ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia Futsal 2021, selain beberapa lagi kejayaan selaku penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Rakphol turut membawa skuad futsal wanita kebangsaan Thailand meraih pingat emas Sukan SEA 2011, pingat emas Kejuaraan Universiti ASEAN 2010 dan 2015 serta tempat ketiga pada Kejuaraan Futsal AFC 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!