Melaka sasar 40,000 pekerja asing tinggal di CLQ
MELAKA - Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Tenaga Kerja menyasarkan seramai 40,000 pekerja asing ditempatkan di penginapan pekerja berpusat (CLQ) menjelang 2025.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwee Hee Sem berkata, sehingga kini 15 penempatan CLQ telah diluluskan bagi menempatkan seramai 22,765 pekerja asing.
Menurutnya, meskipun bilangan itu masih sedikit, pihaknya yakin dalam dua tahun akan datang mampu mencapai lebih 50 peratus pekerja telah ditempatkan di CLQ bagi menyokong sektor perindustrian yang semakin meningkat.
"Kita ada pekerja asing lebih 60,000, dan akan berusaha mendapatkan kerjasama syarikat pemaju untuk membangunkan lebih banyak CLQ di Melaka.
"Ini juga selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) iaitu mulai 2025 semua pekerja asing hendaklah ditempatkan di CLQ, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan program Pendidikan Perburuhan2023: Melestari Perumahan dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab dan Pengarah JTK Melaka, Johana Bakar.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, sebanyak 1,853 permohonan perakuan penginapan telah diluluskan bagi tempoh bermula 2020 hingga Jun lalu.
Menurutnya, biarpun menunjukkan angka memberangsangkan, JTK akan terus mempergiatkan aktiviti perburuhan sama ada melalui penguatkuasaan mahupun pendidikan berhubung Akta 466.
"Langkah itu perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan majikan dan penyedia CLQ sentiasa berusaha memohon perakuan penginapan bagi menjamin pekerja mendapat hak dan perlindungan dalam semua aspek," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!