Vincent Tan sumbang RM100,000 buat Sufi Syafrina

Shahanim (kanan) menyerahkan cek sumbangan peribadi Vincent buat Sufi Syafrina kepada Nik Justin di Kompleks Karangkraf pada Isnin.
Shahanim (kanan) menyerahkan cek sumbangan peribadi Vincent buat Sufi Syafrina kepada Nik Justin di Kompleks Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan memberi sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina menerusi program Sinar Karangkraf bersama komuniti pada Isnin.

Vincent berkata, mengetahui keadaan Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang berusia enam bulan sedang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1, beliau menyifatkan ia sungguh menyedihkan.

“Dengan ini, saya ingin menambah jumlah kutipan tabung sebanyak RM100,000 dan menyeru kepada pemimpin perniagaan lain untuk bersama-sama menyelamatkan nyawa anak berkenaan.

“Saya percaya sekiranya terdapat 88 penderma yang mampu menyumbangkan RM100,000 setiap seorang maka kita akan dapat mencapai jumlah kutipan RM9 juta dengan lebih cepat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada 25 Julai lalu, Sinar Harian melancarkan tabung bagi mengumpul dana untuk membantu Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik SMA Jenis 1 dan memerlukan suntikan jenis Zolgensma untuk pulih.

Pada masa sama, Vincent berkata, walaupun nilai yang diminta merupakan satu jumlah yang besar tetapi ia berbaloi untuk menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

Beliau berharap agar pemimpin perniagaan turut bersama-sama memberi sumbangan tanpa memikirkan jumlah yang ingin diberikan.

“Berapa pun nilainya, tidak kira kecil atau besar, ia akan membantu,” ujarnya.

Sumbangan itu disampaikan oleh wakil Vincent melalui Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Berjaya, Michael Ong dan Pengurus Projek Khas Berjaya, Shahanim Shahidan kepada Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin di Kompleks Karangkraf pada Isnin.

Sementara itu, Nik Justin berkata, beliau amat berbesar hati di atas sumbangan peribadi Vincent yang mahu meringankan beban keluarga Sufi Syafrina untuk menampung kos rawatan dan ubat.

Menurutnya, sehingga 7 Ogos Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina berjaya mengumpul dana sebanyak RM150,000.

“Segala hebahan sejak tabung ini dilancarkan, ia mendapat perhatian semua pihak. Saya amat mengalu-alukan semua badan korporat untuk bersama-sama menyumbang dan membantu proses pemulihan adik Sufi Syafrina.

“Kami akan cuba mengumpul sumbangan seberapa banyak yang mampu dan menyerahkan dana terkumpul ini secara berperingkat bagi memudahkan keluarga adik Sufi Syafrina membeli barang keperluan dan ubat-ubatan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!