Linda Rafar mohon maaf
PELAKON dan penyanyi, Linda Rafar mengambil keputusan untuk tidak lagi menyimpan segala dendam terhadap netizen yang sebelum ini menfitnahnya.
Menyedari kemaafan itu tidak hanya datang daripada satu pihak, selebriti berusia 41 tahun ini turut memohon maaf kepada netizen yang terasa hati dengannya.
"Semasa sidang akhbar terakhir saya, saya berasa marah, dikhianati, dihina dan sedih kerana sedar pemergian ibu (Allahyarhamah Rasimah Abdul Rahman) tidak akan menghentikan buli siber terhadap saya.
"Jadi hati saya penuh dengan kemarahan. Peguam saya telah menghantar notis kepada ratusan orang yang menfitnah saya tetapi hati saya tidak tenang. Saya ada menerima beberapa DM (direct message) mereka yang memohon maaf.
"Ada yang saya maafkan tapi ada yang keterlaluan dan tidak dapat membantu membersihkan reputasi saya.
"Jadi sempena bulan suci Ramadan ini, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf sekiranya saya ada menyakitkan hati sesiapa, sama ada yang memohon maaf atau tidak.
"Tiada siapa yang hebat di atas muka bumi ALLAH ini dan tidak salah jika kita yang ikhlas memohon maaf dulu serta lupakan segala kisah.
"ALLAH maha melihat segala kebaikkan dan keburukkan dicatit dan tidak ada satu pun yang akan terlepas pandang. Dunia sementara akhirat selamanya. Satu hari kita akan kembali," tulisnya.
Sebelum ini, pada bulan Januari lalu, Linda menuntut lebih 100 individu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial yang digunakan atau berdepan tindakan saman daripadanya.
Ia berikutan kontroversi yang melanda Linda dengan jururawat di sebuah hospital kerajaan berkaitan penjagaan arwah ibunya semasa berada di hospital tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!