Buat laporan polis jika dakwa terima ancaman keselamatan - Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu membuat laporan polis bersama maklumat dan bukti yang lengkap selepas mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerima ancaman keselamatan dan dapat tidak hadir ke beberapa siri ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, reaksi yang dipamerkan pemimpin PN seolah-olah seperti mahu meraih rasa simpati dan hal ini bertentangan dengan watak sebenar Muhammad Sanusi yang selama ini dilihat garang.

"Saya fikir itu satu alasan yang direka, negara ini ada undang undang. Pilihan raya ini bermaksud peluang untuk kita berjumpa sebab ramai pengundi. Tapi nampaknya reaksi terakhir malam tadi itu adalah reaksi semacam mencipta simpati, 'play victims'.

'Isunya adalah tidak dapat hadir (ceramah) kerana ada maklumat tentang ancaman dan ini bukan kali pertama. Kelmarin Ahli Parlimen Padang Serai cikgu Azman (Datuk Azman Nasrudin) pun sebut kata polis dah tangkap dia bukan kata akan tangkap dia jawab secara 'affirmative' (mengesahkan), polis dah tangkap," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni peniaga di pasar besar bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Pada Isnin, media melaporkan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen PRN bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega Perikatan Nasional Kedah di Taman Ria, Sungai Petani, pada malam Ahad yang sepatutnya turut dihadiri Muhammad Sanusi.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah kerana ada 'perangkap' yang dipasang oleh musuh.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, setakat ini keseluruhan perjalanan kempen PRN berjalan baik mengikut peraturan dan semua parti politik bebas untuk menganjurkan ceramah dan memberi penerangan.

"Setakat ini tiada insiden di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu jadi bagaimana boleh timbul isu keselamatan di Kedah..kalau ada (isu keselamatan), sudah pasti pihak keselamatan akan memberi teguran dan nasihat.

"Kecuali satu dua vandalisme yang kebanyakannya kena kepada papan iklan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi dalam konteks Kedah ini kita semua menjadi saksi bertapa tenangnya perjalanan kempen di sini," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!