SPR keluarkan 103,197 kertas undi pos PRN, PRK Kuala Terengganu

Ikmalrudin Ishak
Ikmalrudin Ishak
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 103,197 kertas undi kepada yang layak untuk mengundi secara pos bagi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu bermula pada 31 Julai lalu di kesemua 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 102,070 kertas undi pos telah dikeluarkan yang terdiri daripada 87,666 kategori 1A, 7,972 undi pos bagi kategori 1B, 4,705 kategori 1C dan 1,727 kepada pengundi tidak hadir (PTH) luar negara untuk PRN.

“Kategori 1A adalah bagi petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera, dan petugas media). Kategori 1B pula adalah warganegara Malaysia yang berada di luar negara. 1C pula adalah agensi dan organisasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, bagi PRK Kuala Terengganu pula, sebanyak 1,127 kertas undi pos dikeluarkan terdiri daripada 961 kategori 1A, 77 undi pos bagi kategori 1B, 71 kategori 1C dan 18 pengundi PTH luar negara.

Jelasnya, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.

SPR turut mengingatkan kepada pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti.

Tambahnya, pengundi perlu segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada 12 Ogos.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!