Bot nelayan kantoi tunda ikan di zon larangan

Empat kru bot nelayan warga Thailand ditahan kerana kerana melakukan aktiviti menunda di zon larangan perikanan pada Ahad.
Empat kru bot nelayan warga Thailand ditahan kerana kerana melakukan aktiviti menunda di zon larangan perikanan pada Ahad.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana melakukan aktiviti menunda ikan di zon larangan perikanan pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, bot nelayan itu melakukan aktiviti menunda ikan di kedudukan kira-kira 8.3 batu nautika barat daya Pulau Segantang di sekitar jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, penahanan bot dengan hasil tangkapan ikan campur seberat 600 kilogram (kg) bernilai RM1800 dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

"Bot terbabit ditahan bersama empat kru bot warga Thailand termasuk seorang tekong berusia antara 37 hingga 49 tahun.

"Kru, tekong dan bot telah ditahan dan diiring bersama ikan campur ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut,"katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menunda ikan di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Romli menambah, kegiatan ini sukar dikesan kerana ia tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot melepasi jarak 15 batu nautika daripada pantai.

"Sekiranya aktiviti ini berterusan berlaku pada jarak kurang 15 batu nautika daripada pantai, ia akan menjejaskan keseimbangan ekosistem sekaligus telah mengganggu mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut,"katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada seluruh masyarakat khususnya komuniti maritim agar dapat menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang mencurigakan seperti jenayah serta kecemasan di laut bagi membanteras aktiviti seumpama ini.

Masyarakat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!