PRN: Calon PH akui masih ramai belum tahu inisiatif ISP

Fahmi - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fahmi - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PETALING JAYA – “Setakat seminggu saya turun ke lapangan, ramai pengundi masih tak tahu tentang inisiatif Iltizam Selangor Penyayang (ISP),” kata calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah.

Menurutnya, jika terpilih mewakili rakyat di kawasan berkenaan, perkara pertama akan diberi tumpuan adalah memberi penerangan dan mempromosikan inisiatif serta bantuan oleh kerajaan negeri.

“Inisiatif ini kesemuanya ada 47, saya sendiri tanya dengan setiap petugas tetapi kebanyakan mereka tak hafal pun dan bila saya turun ke tempat -tempat orang susah ini, mereka juga tak ingat 47 itu apa.

“Satu saya perlukan kaedah penerangan, olahan dan promosikan kaedah baharu dengan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, kaedah permohonan inisiatif secara dalam talian juga perlu dipraktikkan bagi memudahkan urusan permohonan.

“Kaedah ini juga ramai yang tak tahu, jadi ia menyusahkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk membuat permohonan, takkan 47 kali nak datang pejabat mohon,” ujarnya

Anak kelahiran Kelana Jaya ini berkata, tidak dapat dinafikan hampir kesemua bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan telah sampai kepada golongan sasar.

“Di Seri Setia ini ada golongan T20 dan M40 dan golongan yang susah yang memerlukan perhatian, mungkin kita boleh wujudkan ‘model bantu membantu’ sesama komuniti

Jelasnya, sebagai contoh di DUN Seri Setia, terdapat sebanyak 20 koperasi dan pihak terlibat boleh mewujudkan bekerjasama untuk membantu komuniti di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini, Fahmi akan berhadapan dengan dua penentangnya dari Perikatan Nasionak (PN) iaitu Mohd. Zubir Embong dan Dobby Chew Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 8 September 2018 Halimey Abu Bakar menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi menewaskan pencabarnya dari Pas, Dr Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!